• Wartawan Nabalu News

Ewon teruskan bantuan pengangkutan anak-anak Kg. Lahanas ke sekolah


Zanix bergambar bersama murid-murid yang menerima sumbangan daripada Ewon.

7 Jun 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick meneruskan program bantuan pengangkutan kepada anak-anak di Kg Lahanas untuk meneruskan persekolahan di SK Tengkurus dan SMK Tambulion.


Sebelum ini Ewon menyampaikan sumbangan touchpoint sebanyak RM5,000 bagi membiayai kenderaan pengangkutan anak-anak di kampung tersebut ke sekolah.


Bagi tahun ini, beliau menyalurkan sumbangan sebanyak RM3,000 bagi membantu meringankan bebanan ibu bapa membiayai kos pengangkutan anak-anak mereka ke sekolah.


“Kampung Lahanas adalah antara kampung di DUN Kadamaian yang mempunyai jarak sangat jauh dari sekolah terdekat. Ini boleh menjadi punca kenapa ibu bapa tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah seperti yang pernah berlaku sebelum ini.


Zanix menyampaikan sumbangan kepada salah seorang murid, turut kelihatan Pinol.

“Justeru, selaku Wakil Rakyat Kadamaian, saya meneruskan program bantuan pendidikan ini khas bagi menampung kos pengangkutan murid sekolah agar mereka menikmati pendidikan asas sekolah rendah dan menengah. Saya berharap ini dapat meringankan bebanan ibu bapa dan memberi motivasi agar mereka terus melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti,” katanya.


Penyampaian sumbangan tersebut dilaksanakan pada Ahad lepas di Kg Lahanas melalui Kelab Hoku-Hoku kampung tersebut. Ewon diwakili oleh Ketua Pergerakan GEN-Y UPKO Kota Belud, Vod Zanix Sidin.


Sementara itu Pengerusi Kelab Hoku-Hoku Pinol Timun berkata, jarak kampug itu ke SK Tengkurus lebih kurang 8KM.


Katanya lagi, selain di SK Tengkurus dan SMK Tambulion, anak-anak dari Kg.Lahanas bersekolah di SK Terintidon dan SMK Narinang.


“Terima kasih kepada Datuk Ewon atas sumbangan berterusan membiayai kos pengangkutan bas sekolah untuk murid sekolah dari kampung ini,” katanya dan menambah seramai 50 murid sekolah rendah dan menangah dari Kg.Lahanas Sokid menerima bantuan itu.