• Wartawan Nabalu News

Ewon teruskan tradisi sampaikan hamper Krismas kepada pastor-pastor di Kadamaian


Pastor Paul Tampisal mewakili pastor-pastor kawasan Taginambur menerima sumbangan hamper daripada Ewon.

23 Disember 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick meneruskan tradisi menyampaikan sumbangan hamper Krismas kepada pastor-pastor di kawasan DUN Kadamaian.


Menurut beliau, sumbangan kecil tersebut merupakan ingatan beliau kepada pemimpin-pemimpin keagamaan di Kadamaian yang terdiri daripada pastor-pastor Sidang Injil Borneo (SIB), Seventh Day Adventist (SDA) dan katekis-katekis Roman Katolik.


Pastor-Pastor SIB Kawasan Pekan menerima sumbangan hamper.

“Peranan pemimpin-pemimpin gereja sangat penting dalam komuniti di Kadamaian. Mereka adalah antara yang paling banyak memberi pandangan kepada saya sejak menjadi Wakil Rakyat Kadamaian.


"Justeru, saya berharap sumbangan ini dapat menghargai peranan besar yang mereka berikan kepada komuniti.


“Seperti juga tahun lepas, saya tidak dapat menganjurkan rumah terbuka Krismas dan Tahun Baharu pada kali ini kerana pandemik Covid-19 dan SOP yang tidak membenarkan acara-acara umum secara besar-besaran.


"Apapun, semoga Krismas ini tetap memberi keceriaan kepada semua dengan kita saling mendokan agar persahabatan terus dapat dipereratkan dan dunia diberi kesembuhan dari pandemik ini,” katanya.


Pastor-pastor SIB Kawasan Nahaba menerima sumbangan hamper.

Ewon diwakili oleh ketua urusetia Pusat Khidmat ADUN Kadamaian, Dr Rizoh Bosorang menyampaikan sumbangan hamper-hamper tersebut di perkarangan pusat khidmat beliau hari ini.


Sementara itu, Rizoh menyatakan bahawa urusetia Pusat Khidmat ADUN Kadamaian akan menghantar sumbangan hamper kepada pastor-pastor dan katekis-katekis yang tidak sempat singgah menerima pada hari ini.


Wakil pastor SDA menerima sumbangan.

Ketua SIB Kawasan Taginambur, Pastor Paul Tampisal mengetuai pastor-pastor mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ewon diatas ingatan berterusan kepada parapemimpin keagamaan di Kadamaian.