• Wartawan Nabalu News

EWON TINJAU PROGRAM PEMBERIAN VAKSIN KADAMAIAN


Ewon meninjau program pemberian vaksin di Kadamaian Square.

13 Julai 2021

By Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, meninjau program pemberian vaksin rakyat kawasan DUN Kadamaian di Kadamaian Square, di sini, hari ini.


Beliau berkata, program tersebut dilaksanakan di bawah Program outreach Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), iaitu pemberian vaksin di luar Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kota Belud.


Ewon menyampaikan sumbangan pek makanan kepada penerima-penerima vaksin.

Selain Kadamaian Square, Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di DUN Kadamaian juga telah dilaksanakan di Kg Lasau. Manakala tiga lagi kampung telah dipilih untuk pelaksanaan program yang seterusnya iaitu Kg.Sayap, Kg.Kiau dan Kg.Kaung.


“Pada hari ini, saya dimaklumkan bahawa seramai 500 orang akan menerima dos pertama vaksin. Kesemuanya dari DUN Kadamaian di mana senarai penerima berdasarkan yang telah berdaftar sebelum ini.



“Esok (14 Julai) seramai 472 orang lagi bakal menerima suntikan dos pertama,” katanya.


Ewon juga berharap lebih ramai rakyat akan menerima vaksin Covid-19 bagi membina imuniti berkelompok.


“Kita juga mendesak agar kerajaan melipat-gandakan usaha agar Sabah menerima lebih banyak bekalan vaksin.


“Mereka yang menerima suntikan vaksin inilah yang akan berkempen kepada yang lain untuk turut sama mendaftar bagi menerima vaksin ini,” katanya.


Bagi pihak rakyat Kadamaian, beliau merakamkan ucapkan terima kasih kepada KKM, Pejabat Daerah Kota Belud dan semua yang terlibat dalam menjayakan program pemberian vaksin di DUN Kadamaian.


Ewon turut menyampaikan sumbangan pek makanan kepada semua penerima suntikan vaksin di Kadamaian Square hari ini dan juga esok.