Ewon turun padang tinjau Pasar Am Telupid dan TEKUN Nasional Telupid
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon turun padang tinjau Pasar Am Telupid dan TEKUN Nasional Telupid



29 Disember 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


TELUPID: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengadakan kunjungan di Pejabat TEKUN Nasional Telupid dan meninjau kawasan Pasar Am Telupid, hari ini.


Ini adalah kunjungan pertama Ewon di pejabat agensi kementerian kawasan luar bandar di Sabah selepas menerajui kementerian itu awal bulan ini.


Dalam kunjungan singkat itu Ewon mendengar pelbagai permasalahan yang dikemukakan para peniaga di Pasar Am yang memerlukan perhatian kerajaan.


Turut serta dalam kunjungan itu Setiausaha Politik Carl Moosom, Pegawai Daerah Telupid Celestine Jitony, Pengurus TEKUN Nasional Beluran dan Telupid Ronnie Anthony dan Penolong Pegawai Daerah bahagian Pentadbiran Mohd Nazrul Omar.


"Sepertimana amanat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini agar Kerajaan membantu golongan penjaja dan peniaga kecil, maka saya akan mengambil tindakan susulan lawatan ringkas saya pada hari ini berhubung keperluan menaiktaraf kemudahan kawasan penjaja dan peniaga kecil di sini mencari rezeki khususnya mengusahakan peruntukan menaiktaraf kawasan tapak Tamu Mingguan Pekan Telupid dan menaiktaraf bangunan Pasar Am Telupid,” katanya.


Mengenai kunjungan di Pejabat TEKUN Nasional cawangan Telupid, Ewon dimaklumkan bahawa pejabat berkenaan memerlukan tambahan sekurang-kurangnya dua pegawai untuk mengurus usahawan-usahawan Tekun di daerah Telupid dan Tongod.


"Saya akan memaklumkan perkara ini kepada pengurusan tertinggi TEKUN Nasional agar anggota perkhidmatan di cawangan Telupid, Tongod dan Beluran dapat diperkasakan.


“Dalam masa yang sama, saya berharap rakyat di daerah-daerah ini terus berkecimpung dalam bidang keusahawanan dan perniagaan kecil-kecilan melalui sokongan pembiayaan oleh TEKUN Nasional," katanya.


bottom of page