Ewon umum dividen Bank Rakyat 15% bagi tahun kewangan 2023
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon umum dividen Bank Rakyat 15% bagi tahun kewangan 2023

5 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, hari ini mengumumkan pembayaran dividen Bank Rakyat bagi tahun kewangan 2023 sebanyak 15% dengan jumlah pembayaran sebanyak RM424.62 juta.


Beliau berkata, pembayaran dividen kepada anggota akan dilakukan mulai 5 April 2024 (hari ini).


“Prestasi kewangan memberangsangkan ini telah membolehkan Bank Rakyat mengoptimumkan modal dan mengekalkan pembayaran dividen yang tinggi sebagai ganjaran kepada semua anggota dan pihak berkepentingan Bank Rakyat untuk sokongan berterusan mereka.


“Bersempena dengan Ulang Tahun Bank Rakyat ke-70, Bank Rakyat juga mengumumkan dividen istimewa sebanyak 2% dengan jumlah pembayaran sebanyak RM56.62 juta dan akan diagihkan berdasarkan pegangan saham yang layak pada 31 Disember 2023,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman dividen dan prestasi kewangan Kumpulan Bank Rakyat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, di, SICC, di sini, hari ini


Ewon berkata, pembayaran dividen istimewa ini akan dilakukan pada bulan September 2024 bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Bank Rakyat ke-70.


Sementara itu, beliau berkata Kumpulan Bank Rakyat meneruskan sokongan terhadap mandat tahunan untuk ekosistem koperasi dengan menyumbang sebanyak 2% daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM35.47 juta disumbang kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan 1% bersamaan RM17.74 juta kepada

Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.


“Jumlah sumbangan bagi tahun 2023 adalah sebanyak RM53.21 juta,” katanya.


Beliau  turut mengucapkan terima kasih kepada semua anggota dan pihak berkepentingan atas sokongan yang diberikan kepada Kumpulan Bank Rakyat sepanjang tahun ini.

bottom of page