Ewon yakin sektor SE mampu tingkat sosioekonomi rakyat
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon yakin sektor SE mampu tingkat sosioekonomi rakyat


Ewon melawat pameran sempena program itu.

16 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


TAWAU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yakin sektor Perusahaan Sosial (SE) mampu meningkatkan pertumbuhan sosioekonomi rakyat dan kesejahteraan alam sekitar.


Beliau berkata, keusahawanan sosial, usahawan dan koperasi bukan hanya menjalankan perniagaan berorientasikan keuntungan tetapi pada masa yang sama menggunakan sebahagian keuntungan membantu golongan kurang bernasib baik dan dalam masa yang sama membantu pemuliharaan alam sekitar.


“Keusahawanan sosial merupakan antara agenda utama KUSKOP kerana yakin sektor ini mampu meningkatkan pertumbuhan sosioekonomi rakyat dan kesejahteraan alam sekitar.


“Bagaimanapun, konsep keusahawanan sosial masih belum difahami dengan jelas oleh masyarakat umum termasuk dalam kalangan koperasi dan usahawan kerana kurangnya kesedaran, pendedahan dan pemahaman mengenai keusahawanan sosial.  

“Bagi meningkatkan pemahaman dan bilangan perusahaan sosial di negara kita, KUSKOP melalui agensi di bawahnya termasuk Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), IKMa dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan terus mempergiatkan usaha ke arah itu,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Bicara Ilmu: Memperkasa Perusahaan Sosial Di Kalangan Koperasi dan Usahawan anjuran kementerian dan agensinya Institut Koperasi Malaysia (IKMa)  di Hotel Borneo Royale Tawau, kelmarin.


Ewon berkata, ada masa ini hanya 0.2 peratus atau lebih kurang 18,000 daripada pertubuhan perniagaan di Malaysia adalah perusahaan sosial.

“Ini merupakan cabaran KUSKOP untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berkenaan keusahawanan sosial kepada agensi Kerajaan dan swasta khususnya koperasi dan usahawan,” katanya.


Ewon berkata, walaupun pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi dalam melahirkan perusahaan sosial, Malaysia berpotensi besar dalam membangunkan lebih banyak perusahaan sosial tempatan.


“Dengan bantuan dan sokongan kerajaan, beberapa perusahaan sosial di negara ini telah mencapai kejayaan sekali gus menyumbang kepada agenda pembangunan sosioekonomi negara.

 

“Antaranya Koperasi Ekonomi Rakyat Selangor Bhd yang berjaya meningkatkan taraf hidup orang asli di Pahang dengan menjana pendapatan dan memelihara cara hidup orang asli.

“Koperasi ini memberi peluang pekerjaan kepada orang asli dan mengajar mereka cara bercucuk tanam secara organik. Koperasi ini juga membeli secara terus hasil tanaman orang asli dan mempromosikannya ke pasaran yang lebih luas,” katanya.


Beliau berkata, KUSKOP menetapkan sasaran penarafan Perusahaan Sosial Asas (SE Asas) sebanyak 800 entiti sehingga tahun ini.


“Sehingga 15 Jun lalu, jumlah perusahaan sosial yang diberi penarafan SE Asas adalah sebanyak 536 entiti.


“Daripada jumlah ini, sebanyak 449 merupakan syarikat SE dan 87 koperasi SE.


“Jumlah ini adalah kecil jika dibandingkan dengan jumlah pertubuhan perniagaan dan koperasi di negara kita. Sebagai contoh, daripada 15,315 buah koperasi di Malaysia, hanya 0.6 peratus adalah koperasi SE,” katanya.

bottom of page