top of page
  • Wartawan Nabalu News

Fadillah: KPK sasar tingkat sumbangan KDNK menerusi sektor agrikomoditi


4 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Sektor agrikomoditi dijangka meningkatkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menerusi pembangunan baharu yang akan mengoptimumkan hasil produk dan pendapatan pekebun kecil.


Ini adalah antara matlamat Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) yang turut menyelaras dengan wawasan Ekonomi MADANI melalui sektor agrikomoditi untuk menjadikan Malaysia antara 30 ekonomi terbesar di dunia dalam tempoh 10 tahun.


Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai kaedah untuk menyokong dan menggalakkan pekebun kecil agar dapat meningkatkan hasil mereka.


Beliau berkata, sektor agrikomoditi menyumbang kira-kira tiga peratus kepada KDNK negara pada suku pertama tahun ini dan berharap dengan pembangunan baharu ini, sumbangan itu dapat ditingkatkan.


"Ini kerana agrikomoditi memainkan peranan penting dalam ekonomi negara yang mana ketika ini kita menyumbang kira-kira tiga peratus kepada KDNK negara dan berharap dengan pembangunan baharu ini, kita mampu untuk meningkatkan sumbangan kepada pendapatan negara," katanya pada program Selamat Pagi Malaysia bertajuk 'Memperkasa Komoditi Ekonomi MADANI' yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Khamis.


Fadillah turut menyatakan bahawa kementerian menumpukan kepada kaedah untuk meningkatkan produktiviti, daripada benih sehinggalah kepada produktiviti penuaian dan pengeluaran produk hiliran yang mempunyai nilai tambah.


"Kalau ekonomi dunia meningkat, tetapi pekebun kecil tidak dapat merasai nikmatnya, sudah pasti akan menjejaskan produktiviti pengeluaran. Ini yang kita kena imbangi," katanya.


Tambah beliau, kerajaan turut menubuhkan koperasi untuk membantu pekebun kecil mendapatkan input pertanian dan sebagainya serta menggunakan teknologi moden supaya mereka dapat meningkatkan hasilan produk dan pendapatan.



Comments


bottom of page