• Wartawan Nabalu News

Fahami alasan penghakiman sebelum buat kesimpulan: Tengku Maimun



10 Sept 2022


KUALA LUMPUR: Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, tidak memahami alasan penghakiman dalam sesuatu kes mahkamah menyebabkan ahli politik dan masyarakat membuat kesimpulan yang salah terhadap sesuatu keputusan mahkamah.


Beliau berkata, adalah tidak adil membuat kenyataan mengenai penghakiman tanpa memahami sepenuhnya keputusan mahkamah.


Katanya lagi, kebanyakan komen yang menyerang sistem kehakiman, terutama selepas keputusan mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, adalah berdasarkan sentimen semata-mata.


"Pandangan peribadi saya, komen dibuat oleh orang yang tidak faham, yang menunjukkan kurang kefahaman mereka adalah kerana mereka tidak membaca alasan penghakiman.


"Apabila tidak baca, tidak faham. Bila tidak faham, akan membuat komen yang tidak sesuai dan relevan dengan isunya.


"Keseluruhannya bolehlah dikatakan ia berdasarkan sentimen semata-mata tanpa berdasarkan kefahaman tentang undang-undang dan alasan penghakiman itu sendiri. Keputusan mahkamah itu sendiri tidak difahami dengan sebenarnya," katanya dalam laporan BH, hari ini.


Tengku Maimun diminta mengulas serangan terhadap institusi kehakiman oleh beberapa pihak ketika ini, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib, yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Persidangan Litigasi Kebangsaan 2022 Kali Ke-2 anjuran Majlis Peguam Kuala Lumpur di sini.


Sebelum ini, Majlis Peguam Malaysia mengutuk tindakan berniat jahat, tidak wajar serta berbentuk ancaman yang dilemparkan terhadap badan kehakiman dan Tengku Maimun serta menyifatkan serangan itu berbaur sentimen antikehakiman dan tidak adil kepada badan kehakiman negara.


Presidennya, Karen Cheah Yee Lynn, berkata jelas sekali tindakan berbentuk sentimen antikehakiman oleh pihak tidak bertanggungjawab itu tidak adil kepada badan kehakiman negara.


"Majlis Peguam Malaysia bersolidariti dengan badan kehakiman, menyeru badan kehakiman kekal kukuh dan tegas pendirian serta tidak tunduk kepada tekanan pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan.


Ditanya saranan kepada ahli politik dan masyarakat, Tengku Maimun meminta mereka membaca dan memahami sesuatu isu, selain bertanya pada pakar sebelum membuat kesimpulan.


Katanya, tindakan membuat kesimpulan dan kenyataan tanpa pemahaman adalah tidak adil dan hanya akan mencetuskan situasi yang huru-hara.


"Jika tidak faham, tanya. Jika sudah baca (alasan penghakiman) dan tidak faham, tanya pada individu yang tepat. Jangan begitu mudah membuat kesimpulan tanpa kefahaman penuh. Ini perkara asas.


"Adalah tidak adil untuk membuat kenyataan terhadap isu yang kamu tidak faham. Ia akan menyebabkan huru-hara pada semua perkara.


"Jika kamu tidak faham, tiada asas pengetahuan, tidak memahami sepenuhnya, tapi kamu buat kenyataan. Ini tidak betul," katanya, yang menghargai sokongan Majlis Peguam dalam memperbetulkan persepsi dan menjelaskan mengapa mahkamah membuat sesuatu keputusan.