Fasa Satu e-Placement: 307 Pegawai Perubatan Tetap Ditempatkan di Sabah
- nabalunews
- Aug 13
- 2 min read

13 Ogos 2025
KOTA KINABALU: Seramai 307 pegawai perubatan tetap akan ditempatkan di fasiliti kesihatan seluruh Sabah di bawah Fasa Satu program e-Placement.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata daripada jumlah itu, 10 pegawai perubatan akan berkhidmat di Hospital Duchess of Kent (HDOK) di Sandakan, yang merupakan hospital rujukan utama bagi pantai timur Sabah.
Katanya, penempatan tenaga baharu itu akan membantu mengurangkan beban kerja sedia ada dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
“HDOK menyediakan 19 kepakaran dalaman dan menjadi nadi perkhidmatan kesihatan untuk lima daerah iaitu Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Telupid dan Tongod.
“Dengan jumlah katil operasi sebanyak 414, HDOK berdepan beban kerja tinggi merangkumi rawatan pesakit luar, pembedahan, kes kecemasan dan perkhidmatan bersalin,” katanya dalam hantaran di media sosial selepas mengadakan lawatan ke hospital berkenaan, pada Selasa.
Dzulkefly berkata, lawatan ke HDOK turut menumpukan kepada isu pembangunan dan keperluan naik taraf fasiliti seperti pembinaan blok baharu, pemindahan sementara wad lama yang berisiko.
Selain itu katanya, tumpuan juga diberikan terhadap isu penambahan tangki air berkapasiti besar bagi menjamin kelancaran operasi hospital walaupun berdepan gangguan bekalan air.
Dalam hantaran berasingan, Dzulkefly turut meninjau operasi Hospital Kinabatangan yang menjadi nadi perkhidmatan kesihatan kawasan tersebut, termasuk klinik kesihatan ibu dan anak serta klinik pergigian.
“Saya berkesempatan melihat bagaimana pelbagai perkhidmatan disampaikan, termasuk rawatan pesakit luar, kecemasan, perubatan, pembedahan, bersalin, dialisis, pergigian, dan kesihatan awam.
“Dalam tinjauan ini, saya juga melihat beberapa cabaran yang perlu diberi perhatian, seperti ketiadaan bilik pengasingan tekanan negatif, ruang farmasi dan rehabilitasi yang terhad, serta keperluan peralatan kritikal seperti ventilator dan baby warmer,” katanya.
Beliau kemudiannya merasmikan bangunan baharu Klinik Kesihatan (KK) Ulu Dusun di Sandakan dan meninjau kemajuan pembinaan semula KK Bukit Garam di Kinabatangan, yang dilaksanakan di bawah Projek Klinik Daif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Ujarnya, kerja naik taraf KK Ulu Dusun bernilai RM600,000 telah siap sepenuhnya dan beroperasi untuk komuniti setempat, manakala pembinaan semula KK Bukit Garam bernilai RM1 juta sedang dilaksanakan membabitkan pembinaan bangunan baharu.
“Fasiliti baharu ini bukan sahaja memberi ruang yang lebih selesa untuk pesakit, tetapi juga meningkatkan kapasiti perkhidmatan termasuk rawatan pesakit luar, penjagaan ibu dan anak, imunisasi, dan promosi kesihatan,” katanya.


















Comments