top of page

Fazzrudin kecam kenyataan Zaid hina Sabah, Sarawak

  • nabalunews
  • 5 hours ago
  • 2 min read
ree

24 November 2025


KOTA KINABALU: Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman mengecam keras kenyataan bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim, yang didakwa menghina kedudukan Sabah dan Sarawak serta mempertikaikan asas pembentukan Malaysia.


Fazzrudin menerusi akaun rasmi facebook miliknya menyifatkan kenyataan tersebut sebagai sangat menyinggung perasaan, tidak berasas dan amat tidak bertanggungjawab.


Beliau merujuk kepada kenyataan Zaid dalam sebuah podcast baru-baru ini, termasuk dakwaan bahawa Sabah dan Sarawak merupakan “beban”, gesaan supaya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dibatalkan, serta cadangan agar kedua-dua wilayah diberikan “kemerdekaan”.


“Ia menjejaskan asas perlembagaan negara dan menghina setiap rakyat Malaysia terutama rakyat Sarawak dan Sabah yang telah juga menyumbang kepada pembinaan dan pengukuhan Malaysia.


“MA63 bukanlah mainan politik. Ia adalah perjanjian antarabangsa yang diiktiraf dan instrumen perlembagaan yang mengikat pihak pihak berkenaan, yang membolehkan pembentukan Malaysia,” katanya.


Tambah beliau, perjanjian tersebut tidak boleh diketepikan atau diabaikan semata-mata untuk menyesuaikan diri dengan prasangka peribadi atau provokasi politik.


Fazzruddin berkata, merendahkan kepentingan MA63 adalah sama dengan mengurangkan kepentingan Malaysia itu sendiri dan kenyataan sedemikian menunjukkan pengabaian serius terhadap kedaulatan undang-undang, prinsip perlembagaan dan kebenaran sejarah.


Jelasnya, retorik yang menggambarkan Sabah dan Sarawak sebagai beban serta menggesa pengasingan wilayah adalah bersifat memecahbelahkan rakyat dan mampu mencetuskan permusuhan antara wilayah.


“Pendirian Sarawak adalah tegas dan tidak goyah. Kami tidak akan membenarkan sebarang cubaan untuk memcabar kedaulatan Malaysia dan hak Sarawak dalam rangka perlembagaan dengan cara mengeluar kenyataan tidak bertanggungjawab yang memutarbelitkan sejarah.


“Kenyataan beliau secara jelas menghasut untuk mengancam keharmonian awam, mencetus permusuhan dan menjejaskan struktur perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.


Tambahnya, kenyataan melabel dua wilayah Malaysia sebagai ‘beban’ bukanlah analisis politik, sebaliknya provokasi langsung yang berpotensi menimbulkan ketegangan antara rakyat Malaysia.


Beliau menegaskan Malaysia dibina atas asas kerjasama dan tanggungjawab bersama, dan tidak wajar mana-mana individu mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat perpaduan rakyat.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page