Felix menang tanpa tanding Ketua Bahagian UPKO Beluran
21 Jun 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
TELUPID: Felix Joseph Saang menang tanpa bertanding Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Beluran bagi sesi 2022-2025.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UPKO Pusat merakamkan ucapan terima kasih kepada semua anggota parti yang terus memberi sokongan dan kepercayaan kepadanya menerajui parti itu di Beluran.
“UPKO Beluran komited, fokus, berani dan ikhlas untuk meneruskan agenda perjuangan parti mengikut kemampuan dan keupayaan seadanya, demi mempertahankan dan memperjuangkan hak-hak serta kepentingan rakyat Sabah, terutama sekali di kawasan Telupid dan Beluran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Bahagian Beluran, di Dewan Institut Perhutanan Sabah (IPS) Telupid, kelmarin.
Mesyuarat itu dirasmikan oleh Presiden UPKO Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
Felix turut merakamkan ucapan tahniah kepada barisan AJK Bahagian dan AJK Pergerakan Wanita, Pemuda serta Generasi Muda yang baru dipilih.
“Terima kasih juga atas kehadiran para pimpinan tertinggi parti, pimpinan PH Beluran, para perwakilan dan pemerhati. Selamat datang ke keluarga besar UPKO kepada rakan-rakan seperjuangan baru yang telah menyerahkan borang keahlian kepada YB DSP Presiden,” katanya.
Sementara itu Madius mengingatkan semua anggota parti supaya bersiap sedia menghadapi pilihan raya akan datang bagi memastikan kemenangan kepada setiap calon parti itu.
“Saya mahu semua jentera parti terus bekerja keras dan bersedia menghadapi PRU-15,” katanya.
Opmerkingen