top of page

FPEP Bersama Industri: Mendekatkan Kurikulum kepada Dunia Kerjaya Sebenar

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

21 Januari 2026


KOTA KINABALU: Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan sesi Town Hall khas bagi membincangkan semakan kurikulum program-program pengajian yang ditawarkan, sejajar dengan keperluan industri dan cabaran dunia pekerjaan semasa.


Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Mohd Rahimie Abd Karim, berkata sesi libat urus tersebut merupakan platform strategik untuk memastikan kurikulum fakulti kekal relevan serta memenuhi kehendak pelajar, industri, dasar universiti dan badan akreditasi.


“Town hall ini penting bagi memastikan hala tuju kurikulum FPEP sentiasa selari dengan perubahan landskap pekerjaan dan perkembangan teknologi, khususnya dalam era digital dan kecerdasan buatan yang berkembang pesat,” katanya.

Beliau berkata universiti kini berdepan cabaran untuk memastikan graduan bukan sahaja menguasai kemahiran teknikal, tetapi turut memiliki keupayaan berfikir secara logik, kreatif dan beretika agar kebolehan intelektual manusia tidak tenggelam oleh kemajuan teknologi.


“Pelajar perlu dilengkapkan dengan kebolehan menjana idea, membuat pertimbangan dan menyesuaikan diri dengan situasi sebenar di tempat kerja, bukan sekadar mahir menggunakan teknologi,” katanya.


Sesi dialog tersebut menampilkan lima panel berpengalaman daripada pihak industri termasuk Profesor Adjung FPEP yang juga Pengerusi Saham Sabah Berhad dan Pelaburan Hartanah Berhad, Hj. Mohamad Damshal Awang Damit; Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan ePRINTit USA, Julian Goh; dan Eksekutif Petronas Floating LNG yang juga alumni FPEP, Dzulkarnain Kanik.


Dua panel yang lain adalah Pengurus Kanan Audit dan Assurance PKF PLT, Aleeza John; dan Pengurus Jejak Buku Borneo, Nur Syuhadah Zolkifli. Forum itu dipengerusikan oleh Profesor Dr. Rasid Mail.


Menurut Dr. Rahimie, para ahli panel memaklumkan cabaran-cabaran yang sering dihadapi pelajar semasa menjalani latihan industri, termasuk rasa kekok apabila diberikan tugasan di luar zon selesa serta persepsi bahawa sesetengah tugasan tidak berkaitan secara langsung dengan bidang pengajian.


“Perkara ini menunjukkan keperluan universiti untuk menyediakan bimbingan dan modul latihan yang lebih praktikal serta fleksibel supaya pelajar dapat mengaplikasikan ilmu secara lebih berkesan,” katanya.


Sementara itu, pengendali sesi Town Hall dan Dialog, Dr. Sharifah Milda Amirul yang juga Timbalan Dekan Akademik ketika mengulas mengenai Latihan Industri (LI) berkata, komponen tersebut sangat relevan sebagai elemen penting dalam pembentukan graduan, walaupun pelajar generasi Z dilihat mempunyai tahap kemahiran digital yang tinggi.


Beliau mengalu-alukan penyertaan pihak industri dalam sesi Dialog yang diadakan dan percaya maklumat yang dikongsikan akan dapat mempertingkatkan lagi kesediaan para pelajar menjalani LI dengan jayanya di mana pelaksanaan LI mencapai objektif yang dihasratkan.


“Hasil dialog ini telah mengenal pasti beberapa cadangan utama bagi semakan kurikulum, dan pengubahsuaian telah pun dilaksanakan sejurus selepas itu yakni semasa sesi semakan bersama Ketua-Ketua Program dan ahli-ahli program.


“Menerusi sesi bersama industri ini, FPEP yakin bahawa ianya dapat menghasilkan semakan kurikulum yang berupaya melahirkan graduan yang serba boleh, kreatif dan berdaya saing, selari dengan keperluan industri serta pasaran kerja di peringkat nasional dan global,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page