top of page

Frankie Poon Umum Keluar DAP

  • nabalunews
  • Oct 11
  • 1 min read

ree

11 Oktober 2025


SANDAKAN: Bekas pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon mengumumkan keluar dari DAP menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang bakal tiba tidak lama lagi.


Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Papat yang membuat pengumuman bersama bekas Setiausaha Organisasi DAP Sabah, Liau Fui Fui itu menyatakan perkara berkenaan menerusi satu kenyataan bersama, hari ini.


Frankie berkata, keputusan keluar parti berkenaan turut mendapat sokongan daripada dua cawangan dibawah pimpinan mereka.


“Keputusan ini bukan dibuat dengan tergesa-gesa, sebaliknya ia dibuat selepas menilai dengan teliti pelbagai perkembangan dalaman parti sejak kebelakangan ini.


“Kami telah melihat dengan jelas tindakan-tindakan tersirat daripada kepimpinan tertentu yang menunjukkan wujudnya agenda tersembunyi untuk menggantikan kepimpinan sedia ada di Tanjung Papat tanpa sebarang rundingan atau perbincangan rasmi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Frankie yang juga bekas Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, berkata halatuju DAP Sabah kini hanya menumpukan kepada kelompok muda untuk mengetuai parti dengan mengabaikan peranan pemimpin veteran dan senior yang sekian lama berkorban serta menyumbang kepada parti.


Katanya, ia menunjukkan kurangnya penghargaan terhadap pemimpin veteran dan senior yang telah sekian lama berkorban dan menyumbang kepada parti.


“Kami sebulat suara berpendapat bahawa dalam mana-mana organisasi, perlu ada struktur kepimpinan yang seimbang, sama ada di peringkat atasan mahupun akar umbi, agar organisasi dapat berkembang secara harmoni dan inklusif.


“Kami ingin menegaskan bahawa keputusan ini tidak dibuat dengan ringan. Selama bertahun-tahun, kami telah berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk rakyat dan parti.


“Namun apabila prinsip kejujuran, saling menghormati dan perjuangan bersama tidak lagi dihargai, maka kami mengambil langkah ini dengan hati yang teguh,” katanya.


Frankie bagaimanapun berkata, dia dan penyokongnya akan meneruskan khidmat dan perjuangan politik di peringkat akar umbi seperti biasa.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page