Gabungan Belia Pedalaman Atas sokong pendirian MBS
- nabalunews
- Jul 31, 2025
- 1 min read

31 Julai 2025
KENINGAU: Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Atas (Keningau) menyokong penuh pendirian Majlis Belia Sabah (MBS) berkaitan isu had umur belia di Negeri Sabah.
Pengerusinya Amran Jining berkata, gabungan itu berpandangan bahawa penurunan had umur belia kepada 30 tahun seperti yang termaktub dalam Akta 668 [Pindaan 2019] belum mencerminkan realiti sebenar pembangunan belia di kawasan pedalaman Sabah, khususnya di Bahagian Pedalaman Atas.
Katanya, beliau menyokong kenyataan Presiden Majlis Belia Sabah Abqree Fawwaz Abekan yang mencadangkan agar isu had umur belia disemak semula bagi memastikan dasar dan program belia lebih inklusif, adil serta berpaksikan realiti semasa.
“Ciri-ciri sosioekonomi yang berbeza antaranya ialah keterbatasan akses pendidikan, kemudahan asas dan kelewatan belia luar bandar memasuki pasaran kerja adalah antara faktor utama yang perlu dipertimbangkan sebelum sebarang pelaksanaan dasar berkaitan had umur ini dikuatkuasakan.
"Mewakili suara kolektif belia di akar umbi, kami mencadangkan agar kerajaan membuat semakan semula pelaksanaan pindaan ini dan mengambil pendekatan lebih inklusif dan adil berdasarkan realiti geografi, ekonomi dan sosial di Sabah" katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Amran, MBS percaya bahawa usaha memperkasa belia tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan umur, tetapi juga mesti mempertimbangkan keperluan, kapasiti dan cabaran sebenar yang dihadapi oleh golongan muda di kawasan luar bandar.
Sebelum ini Abqaree berkata, MBS berpendirian, had umur belia 15 - 30 tahun masih belum releven dengan realiti pembangunan belia di Sabah.
Amran berkata, sebagai pemimpin belia di kawasan Pedalaman beliau menyokong pendirian MBS yang dipimpin oleh Abqaree.















Comments