- Farid Johan
Gabungan NGO kemuka memorandum kepada Agong desak Muhyiddin letak jawatan

30 Julai 2021
Oleh Farid Johan
KUALA LUMPUR: Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dianggotai 36 NGO mengemukakan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin letak jawatan.
Antara NGO yang menyertai Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM) itu ialah Masssa (Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia), MEMO, Otai Reformis 1998, GMPN (veteran tentera), Wadah, Suara prihatin Rakyat Malaysia, Pertubuhan Pelancungan Muslim Perak, Jaringan Maufakat Ngos Islam Perak, Pertubuhan Jalinan Amal Rakyat Taiping.
Manakala NGO dari Sabah pula ialah, Persatuan Menyumpit Murut Dayak Sabah, Pertubuhan Suara Rakyat Sipitang Persatuan Insan Prihatin Sabah, Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Sabah, Pertubuhan Sinar Wanita Sabah (PERSIWAS) dan Persatuan Anak Sabah di Perantauan.
Memorandum yang diserahkan kepada Istana Negara pada pagi tadi memohon agar Perdana Menteri berserta barisan kabinetnya termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan, Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali, Meneteri Kesihatan Dr Adham baba, Peguam Negara Idrus Harun dan Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dipecat.
Koordinator GBMRM, Mustapa Mansor berkata, tindakan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Muhyiddin yang membatalkan Ordinan Darurat sebelum mendapat perkenaan dari Yang di-Pertuan Agong merupakan satu bentuk penderhakaan.
"Kami amat kesal apabila pembatalan Ordinan-ordinan Darurat sebagaimana yang diumumkan Menteri Undang-Undang pada Isnin lalu (26 Julai 2021) di Parlimen belum lagi mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
"Bagi kami tindakan begini merupakan satu bentuk penderhakaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bahkan bercanggah dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Mustafa juga meminta agar tindakan tegas mesti diambil kepada barisan kabinet Perikatan Nasional yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.
"Mereka mesti dikenakan tindakan undang-undang atas apa yang berlaku dan meletakkan jawatan secara terhormat serta merta,” katanya.
Katanya lagi, GBRM turut memohon Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri baru melalui sistem sokongan majoriti di Parlimen yang bersesuaian dengan prinsip sebuah negara demokrasi berparlimen.
"Sebarang bentuk manipulasi politik tidak bermoral dalam perlantikan Perdana Menteri mesti dipastikan tidak berlaku lagi.
"Perdana Menteri yang mendapat sokongan majoriti di Parlimen akan mampu membawa Malaysia keluar dari kemelut politik, ekonomi, sosial dan kesihatan," katanya.