top of page

Gagal patuhi tahap kebersihan, tujuh premis makanan di Kundasang diarah tutup

  • nabalunews
  • Oct 14
  • 1 min read

ree

14 Oktober 2025


KOTA KINABALU: Tujuh premis makanan di Pekan Kundasang, Ranau diarah tutup serta-merta bermula 7 Oktober selepas didapati gagal mematuhi tahap kebersihan ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.


Jabatan Kesihatan Negeri (JKNS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, tindakan itu diambil menerusi Operasi Khas Keselamatan Makanan yang dijalankan di sekitar Pekan Kundasang pada 7 dan 8 Oktober lepas.


“Sebanyak 15 premis diperiksa dalam operasi tersebut dan sebanyak 22 notis dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan antaranya kegagalan mematuhi kebersihan pengendali makanan, fasiliti premis serta penyimpanan makanan,” menurut kenyataan itu.


Menurut JKNS, operasi itu dilaksanakan susulan aduan awam serta sebagai persediaan awal menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 memandangkan Kundasang merupakan kawasan tumpuan pelancong domestik dan antarabangsa.


Ia melalui kerjasama Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan bersama Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Tuaran, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Ranau serta PKD Kota Belud.


Justeru katanya, pengusaha dan pengendali makanan diingatkan supaya mematuhi teguran serta arahan pembetulan yang dikeluarkan bagi memastikan makanan yang disediakan bersih dan selamat sekali gus mencegah keracunan makanan yang boleh menyebabkan penyakit serius atau kematian.


“JKNS akan meneruskan advokasi dan pendidikan kepada pengendali makanan selain meningkatkan pemantauan berkala serta mengenakan tindakan undang-undang lebih tegas terhadap mereka yang berulang kali melakukan kesalahan.


“Semua pengendali makanan diingatkan supaya mematuhi keperluan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 demi menjamin keselamatan makanan kepada orang ramai,” menurut kenyataan itu lagi.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page