- nabalunews
Gagasan Rakyat yakin merampas kerusi DUN Karambunai pada PRN-17 - Arshad
29 September 2024
KOTA KINABALU: Jentera Parti Gagasan Rakyat Bahagian Karambunai (Gagasan Rakyat) bersiap sedia mengatur langkah bagi memperkukuh gerak kerjanya bagi memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai dapat dirampas kembali pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) nanti.
Dalam konteks ini, Ketua Bahagiannya, Datuk Arshad Idris mengingatkan jentera parti supaya tidak leka dalam menjayakan misi berkenaan sekali gus fokus untuk menjadikan Gagasan Rakyat agar menjadi lebih kukuh di peringkat akar umbi.
Katanya, ketika kini Gagasan Rakyat DUN Karambunai sudah bersiap sedia termasuk mengaktifkan semua bilik gerakan jentera pilihan raya meskipun PRN hanya akan berlaku pada tahun depan.
“Gagasan Rakyat mempunyai hanya satu matlamat untuk menangi kerusi DUN Karambunai sekali gus memastikan sesiapa sahaja calon PGRS nanti, kita akan pastikan dapat menawan semula kerusi ini kelak.
“Kita boleh boleh membuat kesimpulan disini, hampir 80 peratus segala persiapan ke arah PRN sudah dapat digerakkan hanya menunggu masa PRN-17 ini diadakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat Tahunan Bahagian Karambunai di Dewan Rafflesia Politeknik, Kota Kinabalu hari ini.
Mesyuarat dirasmikan Timbalan Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Stephen J. Imbangan.
Arshad berkata, bermula tahun lalu Gagasan Rakyat Bahagian Karambunai sudah membuat persiapan awal PRN memandangkan ini merupakan tempoh pertama mereka terlibat secara langsung dalam pilihan raya.
“Alhamdulillah, kita beruntung kerana beberapa ahli sedia ada sudah mempunyai pengalaman besar dalam PRN sekali gus memudahkan semua gerak kerja nanti.
"Keyakinan kita ini bukanlah satu cakap kosong dan kita akan buktikan dalam gelanggang PRN-17 nanti,” jelas Arshad.
Menurutnya, ketika ini gerak kerja Gagasan Rakyat DUN Karambunai lebih tertumpu kepada membantu permasalahan rakyat dan dalam masa sama memenangi hati pengundi muda yang masih 'kosong' dalam dunia politik.
Dalam perkembangan berkaitan, Arshad berkata sehingga kini Gagasan Rakyat DUN Karambunai mempunyai seramai lebih 4,000 orang keahlian serta membabitkan 70 cawangan.
“Mereka terdiri daripada bekas ahli Parti Warisan (WARISAN) yang bertindak membubarkan cawangan mereka sekali gus menyertai Gagasan Rakyat DUN Karambunai.
“Kita yakin selepas ini jumlah keahlian serta cawangan akan meningkat berikutan keyakinan masyarakat Karambunai terhadap perjuangan Gagasan Rakyat yang diterajui Presidennya, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor,” kata Arshad.
Comments