Gangguan air Kinarut: Armizan buat laporan polis, syak unsur sabotaj
- nabalunews
- Jan 9
- 2 min read

9 Januari 2026
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali membuat laporan polis di Balai Polis Kinarut malam tadi berhubung isu gangguan kritikal bekalan air di Mukim Kinarut dan Kawang yang dikesan melibatkan unsur khianat serta sabotaj.
Beliau berkata, tindakan itu diambil susulan laporan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang mendapati berlaku gangguan ke atas injap pintu air (sluice valve) di dua pam penggalak (booster pumps) milik JANS yang membekalkan air ke kawasan berkenaan.
“Tujuan laporan dibuat adalah untuk meminta pihak polis membuat siasatan terhadap tindakan yang dilihat melibatkan unsur khianat dan sabotaj ke atas infrastruktur/utiliti awam yang telah mendatangkan kemudaratan awam.
“Sungguhpun JANS telah membuat komitmen untuk membuat siasatan dalaman, namun saya berpendirian ia juga perlu serentak disiasat oleh pihak polis kerana tindakan ini melibatkan unsur kesalahan jenayah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup berkata, menerusi dapatan pasukan khas JANS mendapati wujud gangguan tersebut melibatkan alihan bekalan air ke kawasan luar dari Mukim Kinarut dan Kawang hingga melewati sempadan daerah Papar.
Tindakan itu, menurutnya telah menyebabkan sumber air sedia ada semakin berkurangan hingga mendatangkan kesulitan serius kepada penduduk yang kini terpaksa bergantung kepada jadual catuan.
Sementara itu, beliau menjelaskan, mesyuarat khas semalam mengenal pasti beberapa strategi mengatasi gangguan bekalan air yang akan dilaksanakan segera, selain memastikan penghantaran bekalan melalui ‘water tanker’ diteruskan dengan kerjasama pelbagai pihak.
“Antara strategi dikenal pasti ialah melaksanakan penyambungan silang antara rangkaian paip dari tangki utama Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon (P1) terus kepada rangkaian paip tangki utama Kawang (P3).
“Ia bagi menyalurkan bekalan air terawat secara lebih efisien tanpa melalui jaringan paip yang terlalu jauh, termasuk melewati tangki Melinsung (R22). Kerja penyambungan ini akan dilaksanakan bermula hari ini (9 Januari),” ujarnya.
Selain itu, katanya kapasiti pemprosesan rawatan air di LRA Kogopon 1 akan ditingkatkan 10 peratus daripada 40 juta liter sehari (JLH) sebagai langkah interim, sehingga LRA Kogopon 2, yang sedang dalam pembinaan dengan kapasiti tambahan 40 JLH, siap pada suku keempat 2026.
“Garis masa pelaksanaan kedua-dua strategi ini disasarkan dua minggu sebelum proses pengoperasian penuh, dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah memberi komitmen turun ke lapangan bagi memantau sendiri kerja-kerja berkaitan,” katanya.
Sementara itu, berkenaan kenyataan mantan Ahli Parlimen Papar dari Parti Warisan baru-baru ini, Armizan berkata tidak mahu memberi respon politik buat masa ini, sambil menegaskan fokus beliau adalah untuk menyelesaikan isu rakyat.
“Apabila bekalan air dapat distabilkan dan kesulitan penduduk dapat diredakan, saya akan memberikan respon sekali gus menzahirkan saham besar beliau dan partinya sebagai antara penyumbang utama kepada kesulitan yang dihadapi rakyat kini,” ujarnya.


















Comments