top of page

Lelaki Maut Digilis Lori

  • nabalunews
  • 51 minutes ago
  • 1 min read

3 Februari 2026


TUARAN: Seorang lelaki maut selepas terjatuh dari motosikal sebelum digilis lori dalam kejadian di Jalan Berungis Tenghilan, berhampiran Hospital Tuaran, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di perut.


Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, kemalangan melibatkan sebuah motosikal Honda RS150R dan lori 10 tan.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, pemandu lori dipercayai mengubah haluan dari lorong kanan ke lorong kiri bagi memberi laluan kepada Ambulans yang sedang melalui jalan sama.


“Bagaimanapun, mangsa dipercayai cuba memotong laluan sehingga menyebabkan berlaku pergeseran antara kedua-dua kenderaan.


“Akibat pergeseran berkenaan, penunggang motosikal terjatuh ke bawah lori sebelum digilis pada bahagian perut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dan proses bedah siasat akan dijalankan pada Selasa di Unit Forensik Hospital Tuaran.


Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


“Sehubungan itu, mana-mana saksi kejadian tampil ke Pejabat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk membantu siasatan.


“Selain itu, pengguna jalan juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati semasa memandu dan melintas jalan.


“Masyarakat juga digesa supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta memastikan kenderaan sentiasa dalam keadaan baik,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page