top of page

Geng Pecah Rumah ‘Amy’ Tumpas

  • nabalunews
  • 6 hours ago
  • 2 min read

21 Mei 2025


KOTA KINABALU: Polis berjaya menahan empat penjenayah yang dikenali sebagai ‘Geng Amy’ dan menyelesaikan sekurang-kurangnya dua kes dalam satu operasi khas di sekitar bandar raya, Isnin lalu.


Kumpulan penjenayah berkenaan aktif melakukan kegiatan jenayah pecah rumah di sekitar Kota Kinabalu, dipercayai sejak awal tahun ini.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima dua laporan pecah rumah yang berlalu di kawasan Luyang dan Jalan Penampang.

Katanya, mengikut laporan diterima, kedua-dua kes berkenaan melibatkan kehilangan wang tunai, beberapa barang kemas, telefon bimbit dan lain-lain barang yang dianggarkan kerugian secara keseluruhan mencecah RM10,000.


“Laporan polis yang dibuat oleh dua individu berasingan itu mendakwa kediaman mereka telah dimasuki sekumpulan suspek dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


“Hasil siasatan dan risikan berterusan, seorang suspek berjaya ditahan pada jam 3.40 petang, 19 Mei lalu di Jalan Gaya, di sini.

“Seorang lelaki tempatan itu ditahan bersama beberapa barang kes yang dipercayai hasil kegiatan jenayah pecah rumah iaitu satu hardisc, satu kuku kambing yang dipercayai alat yang digunakan untuk pecah rumah selain pakaian yang dipakai oleh suspek semasa melakukan jenayah,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.


Kasim berkata, susulan penahanan itu, polis terus melaksanakan beberapa siri serbuan agresif secara berasingan dan berjaya menahan tiga lagi individu pada hari sama, hasil pendedahan suspek pertama.


Katanya, polis turut berjaya merampas barang kes sebuah telefon bimbit jenama HONOR 200 dan turut dirampas sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza yang dipercayai digunakan oleh kumpulan ini semasa kejadian.


“Hasil semakan, suspek pertama didapati mempunyai rekod kesalahan lampau antaranya kes pecah rumah, kes samun, kes curi kabel dan kes penyalahgunaan dadah sejak tahun 2017 dan pernah menjalani hukuman penjara bagi kes samun.


“Manakala suspek ketiga dan keempat masing-masing mempunyai 26 dan 16 kes melibatkan pelbagai jenayah sejak beberapa tahun dahulu.


“Kumpulan ini didapati bergiat aktif dalam melakukan jenayah pecah rumah di sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Kudat dan Sandakan selain terlibat dalam kes jenayah lain termasuk penyalahgunaan dadah.


“Modus operandi kumpulan ini dengan menyasarkan kawasan perumahan yang sunyi dan bergerak dalam tiga hingga empat orang dengan menaiki kenderaan yang disewa semasa melakukan jenayah pecah rumah.


“Semua suspek mengaku terlibat dalam kes ini dan kini ditahan reman untuk siasatan lanjut. Hasil ujian air kencing dua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine manakala dua lagi negatif dadah,” katanya:


Kasim berkata, dengan tertangkapnya empat suspek berkenaan telah menjurus kepada penyelesaian dua kes jenayah pecah rumah yang dilaporkan sebelum ini.


Katanya, siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenalpasti penglibatan kumpulan ini dalam kegiatan jenayah yang lain termasuk di daerah luar.


“Buat masa ini, pihak polis masih meneruskan siasatan dan sedang giat untuk mengesan seorang lagi rakan kumpulan ini yang masih bebas yang dikenali dengan nama panggilan “PINDIL”, dan percaya suspek akan berjaya diberkas dalam masa terdekat,”’tegasnya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page