Genting lancar Biasiswa GENM 2025, perkasa pendidikan generasi muda
- nabalunews
- Jul 30, 2025
- 2 min read

30 Julai 2025
KOTA KINABALU: Sempena ulang tahun Jubli Intan ke-60, Genting Malaysia Berhad (GENM) hari ini melancarkan Program Biasiswa GENM 2025 sebagai kesinambungan komitmen tanggungjawab sosial korporatnya dalam menyokong pembangunan modal insan dan memperkasa generasi muda negara.
Timbalan Presiden GENM, Lee Thiam Kit berkata, sejak diperkenalkan pada 2006 program biasiswa itu telah memberi peluang pendidikan kepada ratusan pelajar berkelayakan untuk melanjutkan pengajian serta berjaya melahirkan peneraju dalam pelbagai sektor industri negara.
“Sejak inisiatif biasiswa ini diperkenalkan, kami telah menyaksikan betapa pentingnya peluang pendidikan dalam membuka ruang dan menjadi pemangkin kepada transformasi yang positif.

“Di GENM, kami berbangga menjadi sebahagian daripada usaha memperkasa generasi muda yang berbakat untuk merealisasikan aspirasi akademik mereka, sekali gus membina masa depan lebih cemerlang,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Biasiswa tersebut merangkumi bidang strategik yang menyumbang kepada pembangunan negara termasuk hospitaliti, kejuruteraan, teknologi maklumat, perniagaan dan lain-lain bidang berkepentingan nasional.
Permohonan yang dibuka hingga 15 Ogos itu terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 23 tahun ke bawah yang sedang menunggu tawaran kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda sepenuh masa, sama ada di dalam atau luar negara.
Antara syarat yang ditetapkan adalah calon mesti memenuhi salah satu daripada kriteria akademik seperti minimum tiga gred A untuk STPM/A-Level, Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) minimum 3.0 untuk diploma/asasi, atau kelayakan pra-universiti lain yang setara dan diiktiraf.
Selain pencapaian akademik, pemohon yang aktif dalam aktiviti kokurikulum, menunjukkan ciri kepimpinan dan komitmen terhadap pembangunan diri akan diberi keutamaan.
Keutamaan juga akan diberikan kepada calon dari isi rumah berpendapatan bawah RM10,000 sebulan dan yang belum menerima sebarang biasiswa atau bantuan kewangan lain.
Permohonan hanya boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman rasmi, www.rwgenting.com/en/careers/scholarship/introduction.html, manakala permohonan secara fizikal tidak akan dipertimbangkan.















Comments