Gerakan koperasi di Sabah mampu bantu kerajaan noktahkan kemiskinan tegar: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Gerakan koperasi di Sabah mampu bantu kerajaan noktahkan kemiskinan tegar: Ewon

Tun Juhar menyampaikan anugerah Tokoh Koperasi Negara 2023 pada majlis itu. Turut kelihatan Ewon (dua dari kiri) dan Hajiji (tiga dari kanan).

21 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, gerakan koperasi di Sabah mempunyai potensi besar dan mampu membantu kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar.


Beliau berkata, ia sekaligus membantu kerajaan negeri mencapai mencapai matlamat Sabah Maju Jaya pada tahun 2025.


“Setakat ini terdapat sebanyak 1,707 koperasi berdaftar di Sabah. Ini menjadikan Sabah, negeri kedua tertinggi mempunyai bilangan koperasi selepas Selangor, dengan keanggotaan sekitar 350 ribu orang dan perolehan lebih kurang RM570 juta,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi sempena Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK) 2023, di Magellan Sutera Resort, di sini, semalam.

Ewon disambut mesra oleh ketua-ketua jabatan dan agensi kementerian.

Majlis itu disempurnakan oleh Yang di-pertua Negeri Sabah, Tun Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin.


Ewon berkata, gerakan koperasi telah membangun dengan pesat dan berjaya menjadikan sektor koperasi antara penyumbang penting kepada sosioekonomi masyarakat di negara ini.


“Pelbagai kejayaan telah dicapai di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Contohnya, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) Berjaya tersenarai dalam 300 koperasi terbaik dunia dengan kedudukan di tangga 244.


“Ini adalah antara pencapaian terbaik yang dicapai oleh salah satu koperasi di negara kita,” katanya.

Ewon bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Haji Nooor.

Beliau berkata, secara keseluruhannya bilangan koperasi di seluruh negara telah melonjak kepada 15,315 buah koperasi dengan jumlah keanggotaan sekitar 7.3 juta, hampir menyamai bilangan isi rumah Malaysia.


“Sumbangan gerakan koperasi melalui pengumpulan modal syer dan yuran sebanyak RM17 bilion dan penjanaan aset berjumlah RM160 bilion.


“Manakala sumbangan perolehan koperasi mencecah RM45.5 bilion menjadikannya penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi negara selepas sektor kerajaan dan swasta,” katanya.


Ewon berkata, matlamat asal penubuhan koperasi adalah untuk membantu penduduk luar bandar menangani masalah hutang tetapi kini gerakan koperasi telah mengorak langkah menceburi pelbagai sektor ekonomi utama negara.


Antaranya sektor perkhidmatan kewangan, pemborongan peruncitan, perladangan, pelancongan, pembangunan hartanah dan industri pembinaan serta penjagaan diri dan kesihatan.

Ewon mengiringi Tun Juhar.

Selain itu katanya, antara kejayaan yang dilakar dalam tempoh 100 tahun gerakan koperasi adalah penubuhan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).


“UKKM merupakan universiti koperasi pertama di negara ini yang akan menerajui negara melahirkan para pelapis profesional modal insan bagi memastikan sektor koperasi terus berdaya saing, dipimpin dan dianggotai golongan kompeten, dinamik dan progresif.


“Buat masa ini, UKKM menawarkan program daripada peringkat diploma, ijazah sarjana muda sarjana dalam bidang pentadbiran dan keusahawanan,” katanya dan menambah pengambilan pelajar seterusnya akan dibuat pada September ini bagi program diploma dan ijazah.


Turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah Toh Puan Hajah Norlidah R.M.Jasni, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Mohd Noor, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Kadzim M. Yahya, Menteri-Menteri Kabinet Negeri Sabah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Surveyor Haji Safar Untong.


bottom of page