Gerakan koperasi Sabah bantu tingkat ekonomi negeri – Hajiji
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Gerakan koperasi Sabah bantu tingkat ekonomi negeri – Hajiji


2 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, menyeru gerakan koperasi di negeri ini untuk mencipta kejayaan yang boleh dijadikan contoh, termasuk bekerjasama dengan kerajaan dan sektor swasta dalam memajukan ekonomi negeri.


Beliau berkata, kerajaan negeri akan sentiasa menyokong dan membantu usaha-usaha yang dilakukan oleh koperasi, termasuk Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), dalam meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.


Beliau yakin sektor koperasi di Sabah mampu menjana pendapatan dan memenuhi keperluan anggota dan masyarakat dengan memanfaatkan sumber alam semula jadi dan pelancongan yang terdapat di negeri ini.


“Di Sabah, kita mempunyai banyak jenis koperasi yang membantu pembangunan sosioekonomi komuniti, sama ada dalam bidang peruncitan atau aktiviti pelancongan dan alam sekitar,” katanya pada Majlis Moreh Ramadan ANGKASA Sabah di Hotel Hilton Kota Kinabalu baru-baru ini.


Menurut Hajiji, pada tahun 2022, terdapat 1,706 buah koperasi berdaftar di Sabah dengan 343,230 orang anggota. Modal syer terkumpul sebanyak RM220 juta, aset terkumpul sebanyak RM826.44 juta dan jumlah perolehan sebanyak RM437.15 juta.


Beliau juga memberitahu bahawa ANGKASA sebagai badan apeks gerakan koperasi negara yang diiktiraf oleh kerajaan menaungi 15,315 buah koperasi pada tahun 2022, dengan 7.04 juta orang anggota.


"Aset ANGKASA pula sebanyak RM156.2 bilion dan modal syer/yuran sebanyak RM16.5 bilion. Perolehan gerakan koperasi sehingga 31 Disember 2021 pula mencapai RM37.9 bilion.


“ANGKASA telah memainkan peranan penting kepada pembangunan gerakan koperasi di seluruh negara termasuklah di Sabah. Saya berharap usaha ini dapat diteruskan kerana koperasi harus lebih maju dan progresif mengikut perubahan ekonomi, terutamanya selepas wabak Covid-19,” tegasnya.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.


Hajiji juga berkata, selain menawarkan perkhidmatan kewangan seperti pembiayaan dan dividen kepada anggota, koperasi juga memelihara aspek sosial seperti membuka peluang pekerjaan, memberi latihan dan pendidikan keusahawanan, serta memberi bantuan kepada anggota yang memerlukan.


Beliau yakin koperasi dapat berperanan sebagai ejen pembasmian kemiskinan jika dapat terlibat dalam sektor-sektor utama negara dan berimpak tinggi.


“Saya berharap koperasi dapat membantu dalam menyelesaikan isu-isu rakyat, termasuk kos sara hidup dan ketahanan makanan yang sering ditekankan oleh kerajaan,” katanya.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page