• Wartawan Nabalu News

Gereja Seventh-Day Adventist mohon pelanjutan masa mengundi, selepas tidak dibenarkan undi awal



2 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sekretariat Sabah Mission of Seventh-day Adventists kelmarin telah mengemukakan permohonan baharu agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat melanjutkan masa pembuangan undi selama 1 jam 30 minit.


Jurucakap Sekretariat Sabah Mission of Seventh-day Adventists, Pastor Earie Madius berkata, ia susulan respon permohonan kelonggaran mengundi awal bagi penganut agama Seventh-Day Adventist di Malaysia (SDA) khususnya di Sabah tidak dibenarkan SPR.


“Pada awal Oktober 2022, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mengumumkan beberapa penambahbaikan termasuk pemanjangan waktu mengundi yang bermula jam 8 pagi hingga 6 petang bagi Semenanjung Malaysia manakala jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang bagi Sabah dan Sarawak.


“Selepas membuat rujukan bagi hari Sabtu, 19 November 2022, bagi Semenanjung Malaysia, masa matahari terbenam adalah pada jam 6:58 petang, manakala bagi Sabah dan Sarawak ialah masing-masing 5:56 petang dan 6:25 petang.


“Sehubungan itu pihak gereja SDA dengan rendah hati memohon pertimbangan sekiranya masa pembuangan undi boleh dilanjutkan selama kira-kira 1 jam 30 minit daripada pagi jadual sedia ada di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.


Untuk rekod gereja SDA mengamalkan pemeliharaan Sabat hari ketujuh yang bermula pada terbenam matahari pada setiap Jumaat dan berakhir pada terbenam matahari pada setiap hari Sabtu.


Menurut Earie, permohonan baru itu telah dihantar melalui e-mel kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri Sabah, Tuan Rohiman Rahia, kelmarin (01 November 2022).


“Permohonan pelanjutan masa ini bagi membolehkan bagi para penganut SDA dapat menjalankan kewajiban mereka sebagai warganegara Malaysia untuk membuang undi tanpa melalaikan tanggungjawab rohani.


“Kita telah menerima e-mel respon SPR pada 28 Oktober 2022 berhubung permohonan undi awal yang tidak dapat dibenarkan.


“Ia kerana menurut Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981(P.U. (A) 386/1981) peraturan 27a.(1) pengundi yang layak mengundi awal adalah anggota Polis yang berkhidmat dengan Pasukan Gerakan Am dan pasangan serta anggota tentera yang bertugas pada hari mengundi,” katanya


Pada 13 Mac 1967, akhbar The Strait Times melaporkan pihak SPR memberi kelonggaran kepada penganut gereja SDA mengundi pada hari Ahad dalam berita bertajuk Saturday Sabbath, so Polling is put off a day.


Keratan akhbar The Strait Times, 13 Mac 1967