• Wartawan Nabalu News

Giatmara Sabah perkenal kursus baharu Beverage Management, mulai Jan 2023


23 September 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: GIATMARA Sabah di Sepanggar memperkenalkan kursus pengkhususan terbaru, Beverage Management bermula Januari 2023.


Menurut kenyataan Giatmara Sabah, kursus tersebut merupakan kursus pertama seumpamanya ditawarkan di GIATMARA seluruh Malaysia.


“Kursus ini menawarkan latihan selama tiga bulan di GIATMARA Sepanggar dengan keperluan melengkapkan empat modul utama pembelajaran. Pengambilan pertama akan bermula pada Januari 2023.


“Kursus ini terbuka kepada belia yang berminat untuk mempelajari bidang Beverage Management, selain lepasan GIATMARA sedia ada,” kats kenyataan itu, di sini, hari ini.


Dalam pada itu, GIATMARA Sepanggar juga menawarkan kursus kulinari iaitu Pramusaji dan Makanan, Konfeksioneri dan Pastri serta kursus pengkhususan Bread Artisan.


Menurut kenyataan itu, kursus Beverage Management dilihat sebagai kursus pelengkap, seleras dengan fungsi pusat kemahiran itu yang sedang dalam perancangan untuk diangkat sebagai Akademi Kulinari GIATMARA Sabah.


“Diharapkan kursus ini dan kursus sedia ada dapat menarik lebih ramai belia dan masyarakat setempat meneroka bidang kulinari seterusnya mengembangkan lagi industri Barista dan Pastry di Sabah,” katanya.


Bagi mereka yang berminat mengikuti kursus di GIATMARA, maklumat lanjut boleh diperolehi melalui www.giatmara.edu.my