Glc Sabah Perlu Direformasi Secara Meluas
- nabalunews
- Jun 10
- 2 min read

10 Jun 2025
KOTA KINABALU: Syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) di Sabah perlu direformasi demi kebaikan rakyat dan masa depan negeri Sabah secara menyeluruh.
Bendahari Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Dennison R. Indang berkata, GLC seharusnya menjadi pemangkin kepada ekonomi rakyat, membuka peluang
pekerjaan, memperkasa usahawan tempatan, dan menyumbang kepada hasil negeri.
Bagaimanapun katanya, apabila tadbir urus dipacu oleh kepentingan politik semata-mata dan bukannya kecekapan, maka misi asal penubuhannya sudah jauh tersasar.
“Keadaan ini menghakis keyakinan rakyat terhadap kecekapan pengurusan negeri serta menjejaskan keupayaan kita untuk menyediakan perkhidmatan dan pembangunan yang berimpak tinggi.
“Saya menyambut baik gesaan agar syarikat-syarikat GLC di Sabah menjalani reformasi yang menyeluruh dan berani.
“Hakikatnya, terlalu banyak GLC gagal menunaikan matlamat asal penubuhannya.
Bukan saja tidak menjana keuntungan, bahkan menjadi beban kepada kewangan negeri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dennison berkata, kerugian berterusan memberi kesan langsung kepada keyakinan
pelabur dan hala tuju pembangunan negeri.
“Saya berpandangan sudah tiba waktunya untuk pendekatan baharu dalam pengurusan
GLC Sabah. Pelantikan dalam Lembaga Pengarah mesti dibuat berasaskan merit dan
profesionalisme, bukan atas dasar siapa yang kenal siapa.
“Semua pelaburan dan kerjasama perlu melalui penilaian telus, dengan keutamaan diberikan kepada impak kepada rakyat.
“GLC yang tidak menunjukkan prestasi harus dinilai semula, distrukturkan, atau ditamatkan agar sumber negeri dapat digunakan dengan lebih bijaksana.
“Dalam hal ini, saya menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Pemantauan GLC
Negeri Sabah yang diumumkan oleh Datuk Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Julita Majungki,” tegasnya.
Beliau yang juga Ketua Bahagian UPKO Kota Kinabalu berkata, ia adalah langkah penting ke arah memperkukuhkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus GLC.
Katanya, beliau melihat reformasi GLC bukan sekadar soal pentadbiran, tetapi soal keberanian membuat keputusan dasar yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat dan kekuatan ekonomi negeri.
“Rakyat memerlukan pemimpin yang bukan saja faham isu dasar, tetapi juga mampu mendesak perubahan struktur secara tuntas dan berani.
“UPKO komited untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian. Kami percaya
reformasi GLC bukan pilihan, tetapi satu keperluan mendesak.
“Dan bagi memastikan perubahan ini berjaya, Sabah memerlukan barisan kepimpinan yang benar-benar memahami tanggungjawab dan bersedia untuk memikul amanah,” katanya.
Comments