top of page

Golongan muda disarankan libatkan diri dalam seni persembahan tradisional dan pelajari bahasa ibunda: Ellron

  • nabalunews
  • May 18
  • 2 min read

Flovia yang mewakili Ellron (ketiga dari kanan) bersama Caroline (kedua dari kanan), Suman (kiri) dan DSP Alizam (kanan) melakukan gimik perasmian dengan mengetam padi.
Flovia yang mewakili Ellron (ketiga dari kanan) bersama Caroline (kedua dari kanan), Suman (kiri) dan DSP Alizam (kanan) melakukan gimik perasmian dengan mengetam padi.

18 Mei 2025


SOOK: Generasi muda perlu memainkan peranan aktif dalam memastikan warisan budaya yang diwarisi daripada nenek moyang terus subur sepanjang zaman.


Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin berkata, golongan muda disarankan agar melibatkan diri dalam seni persembahan tradisional, pelajari bahasa ibunda, kenali upacara adat dan sukan rakyat.


Katanya, teknologi moden tidak sepatutnya menjauhkan masyarakat terutama golongan muda daripada akar budaya, sebaliknya ia harus menjadi alat untuk memelihara dan menyebarkan nilai budaya kepada lebih ramai orang melalui media sosial, dokumentasi digital dan inovasi kreatif.


Ellron yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook berkata demikian dalam ucapan perasmian Pesta Kaamatan Daerah Sook yang berlangsung di Dewan Masyarakat Sook di sini pada Ahad.


Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Flovia Ng yang juga ADUN Tulid.


Ellron berkata, dalam kepelbagaian etnik dan budaya yang menjadi identiti negeri Sabah, Kaamatan menjadi platform untuk memperkukuhkan persefahaman, mengeratkan silaturrahim dan mempertingkatkan semangat gotong-royong serta rasa syukur terhadap rezeki yang dikurniakan.


"Budaya bukan sekadar pakaian tradisional atau tarian semata-mata tetapi ia adalah cara hidup, nilai hormat kepada orang tua, semangat tolong-menolong dan warisan nenek moyang yang perlu dipertahankan" jelasnya.


Justeru itu katanya, untuk mengekalkan semuanya ini, peranan golongan muda adalah amat penting sebagai penerus budaya etnik di negeri ini agar ia tidak pupus ditelan zaman.


Menyentuh tentang tema "Kaamatan Untuk Semua" Ellron berkata, ia bukan sekadar slogan tetapi ia adalah mesej perpaduan dan panggilan kepada semua masyarakat tanpa mengira latar belakang, suku kaum, agama atau status bahawa Kaamatan adalah milik bersama.


Katanya, tema ini juga menegaskan bahawa pesta ini bukan untuk masyarakat Kadazandusun Murut tetapi untuk setiap rakyat yang cinta akan kedamaian, kebudayaan dan semangat kekitaan.


Hadir sama Pegawai Daerah Sook Puan Caroline Benjamin Jiungan, Setiausaha Agung KDCA Datuk Suman Yansabun, Timbalan Ketua Polis Daerah Keningau, DSP Alizam Dalaman, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sook Tony Talasoi, PPM Tulid Casmir Silip, Ketua- Ketua Jabatan dan Pemimpin-Pemimpin Masyarakat.


Sambutan pesta Kaamatan Peringkat Daerah itu diserikan dengan persembahan kebudayaan dan acara kemuncak pertandingan Unduk Ngadau.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page