Gotong Royong Perdana Kampung Kiau Taburi serlahkan permuafakatan penduduk
29 September 2024
KOTA BELUD: Seramai 130 penduduk Kampung Kiau Taburi di sini, bersatu hati dalam usaha membersihkan dan memperindahkan kawasan setempat menerusi program Gotong-Royong Perdana di kampung itu, yang berlangsung semalam.
Gotong-royong ini dipimpin oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kiau Taburi, Stephen Sindeh, yang memainkan peranan penting dalam menggerakkan penduduk kampung untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti komuniti.
Gotong Royong Perdana ini dianjurkan JKKK Kampung Kiau Taburi dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kiau Taburi.
Program ini turut mendapat kerjasama Persatuan Bomba Sukarela Kiau, Klinik Desa Kiau Taburi, Perpustakaan Desa Kiau Taburi, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Kiau Taburi dan ATV Adventure.
Selain memperkukuhkan kerjasama di kalangan penduduk, program ini juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk memastikan kebersihan dan keindahan kampung terus terpelihara.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis bersama kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian serta kakitangan Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian telah menghadiri jemputan Gotong-Royong Perdana di Kampung Kiau Taburi.
Kehadiran wakil PPM, kakitangan UPPM, dan Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian menunjukkan komitmen pihak terbabit dalam mendekati masyarakat di peringkat akar umbi dan menyokong inisiatif seperti ini yang memupuk semangat kerjasama dan permuafakatan
dalam kalangan penduduk.
Acara tersebut juga menjadi platform bagi para penduduk untuk berbincang dan bertukar pandangan mengenai isu-isu tempatan, di samping mengeratkan hubungan antara penduduk kampung dan pemimpin tempatan.
Comments