GRADUAN PENDIDIKAN UNIVERSITI AWAM DALAM DILEMAGRADUAN PENDIDIKAN UNIVERSITI AWAM DALAM DILEMA
top of page
  • Chonnel George

GRADUAN PENDIDIKAN UNIVERSITI AWAM DALAM DILEMA


11 Mac 2021

Lurah bekerja sebagai cashier di supermarket. PENAFIAN: Gambar ini mendapat kebenaran daripada Lurah.

Oleh: Chonnel George, Wakil Graduan Pendidikan Universiti Awam - Sabah


“Bilalah panggilan temuduga kamu? Takkan kamu sampai mati kerja di supermarket saja. Bagus buanglah tu degree kamu.?”- Graduan Pendidikan Universiti Awam dilanda dilema.



Coretan ini mengisahkan seorang graduan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang hanya mahu dikenali sebagai Lurah, terpaksa menadah telinga dalam berhadapan persepi dan tomahan masyarakat terhadap graduan pendidikan universiti awam. Lurah merupakan graduan yang mengambil opsyen Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu. Mari kita selami kisah si gadis desa ini dengan lebih dalam.


“Saya merupakan gadis desa dari Kg. Sungoi, Kota Marudu, Sabah dan merupakan anak ke-9 daripada 10 adik-beradik. Disebabkan kesempitan hidup, adik-beradik saya yang lain terpaksa beralah untuk memberikan peluang kepada saya bagi meneruskan pengajian ke menara gading.


"Meskipun hidup dalam serba kekurangan, saya tetap kuat walau pada suatu ketika hanya berlaukkan garam untuk mengisi perut yang lapar.


“Walaupun dilanda keperitan hidup yang menghimpit jiwa, saya tetap bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang harmoni. Namun begitu, tragedi hitam merenggut kebahagiaan keluarga kami apabila ayah saya dipanggil Tuhan sewaktu saya berusia 18 tahun. Air mata berderai sehingga kering ke bumi. Namun, saya harus reda dengan ketentuan sang Pencipta semesta,” ujarnya.


Lurah berkata, sewaktu dalam pengajian di UPSI, sekali lagi dia ditimpa ujian besar di mana rumah usang milik keluarganya itu hangus dijilat api pada tahun 2018. Sudah jatuh, ditimpa tangga sememangnya ungkapan yang cukup sinonim dengan liku-liku kehidupannya. Dia juga menyatakan hampir menyerah kalah dalam persaingan hidup.



“Di saat saya hampir menyerah kalah, wajah ibu selalu terpampang di hati. Saya harus kuat demi ibu saya yang kini sudah tidak mempunyai kudrat untuk bekerja. Apabila memandang wajah ibu, air mata ini selalu jatuh berlinangan yang membungkam kalbu. Ibu selalu berpesan "Lurah, kalau kau sudah posting jadi cikgu di sekolah nanti, sinang sudah mama.”.


"Inilah ungkapan yang selalu keluar dari mulut ibu. Di suatu sudut yang sempit, saya menangis teresak-esak mengenangkan realiti sebenar sebagai lulusan ISMP Universiti Awam yang tiada jaminan penempatan sebagai guru oleh pihak KPM. Terkadang mulut ini mahu mengungkapkan kepada ibu akan realiti sebenar tetapi hati ini tidak kuat kerana risau ibu akan bersedih,” luahnya dengan penuh hiba mengenangkan nasib.


Setelah menggenggam segulung ijazah dalam profesion perguruan pada tahun 2020, Lurah menyatakan dia pulang ke kampung halaman untuk menemani ibunya yang semakin uzur dek dimamah usia. Dia menyatakan ‘bertarung’ dengan persepi masyarakat adalah lebih rumit berbanding kehidupannya yang penuh sesak dihimpit timbunan derita.


“Hati ini terkandang sakit bila orang bertanya, “Eh, Lurah, mana sudah kau mengajar sekarang, bukan kau cikgu kah tu?” Saya selalu tersentap dengan pertanyaan begini. Namun, saya tidak boleh menyalahkan mereka sebab mereka tidak tahu realiti yang sebenar.



Disebabkan kehidupan yang kian mendesak, tatkala belum ada panggilan temu duga daripada pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), saya pun mencari pekerjaan di supermarket yang terletak di ibu negeri Sabah.


Mentaliti masyarakat terhadap pemegang skrol ISMP UA ini adalah sangat menguji kesabaran, seolah-olah memandang remeh terhadap pekerjaan di premis-premis yang dianggap ‘low standard’ di mata mereka. “Alah, belajar tinggi-tinggi pun tiada juga guna. Last-last (akhirnya) kerja supermarket juga”. Ayat-ayat inilah yang selalu menguris hati saya sepanjang bergelar graduan ISMP. Selaran yang cukup menguji kesabaran jiwa bila orang bertanya:

“Buat apa kau sekolah tinggi-tinggi tapi akhirnya kerja biasa-biasa saja?

“Bukankah kalau ada degree sepatutnya kamu kerja kerajaan?

“Bilalah panggilan temuduga kamu? Takkan kamu sampai mati kerja di supermarket saja. Bagus buanglah tu degree kamu!” ujarnya dengan nada hampa.


Lurah menyatakan bahawa dia juga selalu ikat perut bagi memberikan kehidupan yang lebih baik kepada ibunya di kampung. Gaji kecil yang diterimanya tiap bulan kalau diikutkan tidak dapat menampung kos hidup di bandar yang tinggi biayanya.

“Gaji saya cukup-cukup saja untuk perbelanjaan di bandar. Kalau sudah bayar semua, tinggal berapa (RM) lagi yang tinggal. Selebihnya saya simpan untuk kes kecemasan dan bagi sama mama untuk belanja dia di rumah. Mama saya tua suda. Tidak apa juga kalau saya ikat perut, yang penting mama tidak begitu”, sahutnya dengan nada sedih.


Mendidik masyarakat pada masa kini, laksana layang-layang melawan angin. Realitinya, persepsi KPM terhadap graduan ISMP UA mungkin berubah untuk mencari pekerjaan di luar profesion perguruan, tetapi tidak di mata industri. Industri masih beranggapan bahawa graduan ISMP Universiti Awam masih mempunyai jaminan penempatan dan akan di-posting-kan di sekolah sebagai guru tetap.



“Persepi masyarakat pada era kini beranggapan bahawa kami tidak berkebolehan untuk mengajar di sekolah, dan atas dasar inilah kami tidak dipanggil oleh KPM untuk berbakti. Walhal, realitinya bukan sedemikian rupa,” tambahnya lagi.


Bakal majikan di luar sana sepertinya gagal mengerti frasa yang terpampang pada skrol Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Mereka tetap beranggapan bahawa sang pemegang skrol ISMP akan diserap menjadi guru, baik di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah. Lurah juga sempat mengongsikan pengalamannya sewakta fasa pemburuan pekerjaan yang cukup sengit setelah bergelar sebagai graduan.


“Apa yang lebih menakutkan, bakal majikan seolah-olah tidak mahu menerima untuk bekerja bila mengetahui bahawa kami adalah graduan ISMP UA. Sewaktu menghadiri sesi temu duga di supermarket dulu, saya hanya mempamerkan sijil STPM sebagai kelayakan utama.


Sekiranya saya menunjukkan skrol ikhtisas perguruan, berkemungkinan besar saya akan ditolak mentah-mentah disebabkan majikan bimbang saya hanya akan berada di tempat tersebut untuk jangka masa singkat.


“Dilema inilah yang mulai menghantui hari-hari saya sehingga pada suatu ketika, saya meraung kesakitan di lubuk hati yang paling dalam. Namun, saya harus kuat dalam melalui liku-liku kehidupan sebagai pekerja bawahan di supermarket meskipun memiliki ikhtisas perguruan dalam diam.


“Kepada KPM, saya mohon agar turut memahami situasi yang dialami oleh saya ada ketika ini. Dilema ini juga turut dirasai oleh rakan graduan ISMP UA yang lain. Panggillah kami sekiranya masih ada kuota kekosongan sebagai guru di sekolah.


Utamakanlah graduan ISMP UA dalam profesion perguruan kerana mentaliti industri tidak sama dengan KPM. Bantulah kami,” rintihnya yang mengambarkan rayuan agar diberikan penempatan sebagai guru di sekolah.


___________________________________________________________________________

PENAFIAN:

Perkongsian dalam coretan ini telah dipersetujui oleh graduan sendiri (saudari Lurah) untuk disiarkan di media cetak dan digital. Segala olahan dalam coretan ini juga telah dibaca, difahami dan dipersetujui oleh graduan tanpa sebarang paksaan dan tokok tambah.


bottom of page