Groupthink – Sindrom Setuju Sahaja Yang Membawa Padah
- nabalunews
- Nov 14, 2025
- 2 min read

14 November 2025
Oleh Dr. Jakaria Dasan
Bayangkan anda duduk dalam satu bilik mesyuarat, semua orang tersenyum, mengangguk, dan bersetuju. Hati kecil anda mula berbisik, “Macam tak kena ni.” Tapi anda berdiam. Tiada siapa bersuara. Ada yang takut dilabel menentang, ada yang takut dikritik, dan ada yang sekadar ikut arus.
Inilah yang digelar groupthink, dalam bahasa mudahnya, sindrom setuju sahaja. Fenomena ini berlaku apabila semua orang lebih mementingkan kesepakatan luaran daripada kebenaran. Komunikasi yang sepatutnya menjadi medan berfikir bersama, berubah menjadi medan untuk mengesahkan pendapat pemimpin. Tiada teguran, tiada keberanian berkata, “Saya tak setuju,” dan lama-kelamaan, budaya ini boleh melumpuhkan pemikiran kritikal kumpulan.
Fenomena ini bukan sekadar teori. Ia pernah menjadi titik hitam dalam sejarah melibatkan banyak peristiwa besar sepertimana tiga peristiwa berikut:
Tragedi Space Shuttle Challenger (1986). Jurutera NASA memberi amaran tentang cincin getah (O-ring) yang berisiko gagal dalam suhu sejuk. Namun, kerana tekanan untuk menepati jadual, pandangan itu diketepikan. Beberapa minit selepas pelancaran, kapal itu meletup, membunuh tujuh angkasawan yang disiarkan menerusi kaca televisyen tatapan seluruh dunia. Tiada siapa berani menegur. Inilah kesan dari groupthink, komunikasi logik tenggelam dalam tekanan untuk setuju.
Serangan Pearl Harbor (1941). Amerika Syarikat sudah mengesan tanda-tanda ancaman Jepun, tetapi laporan perisikan diabaikan. Pegawai terlalu yakin Jepun tidak akan menyerang. Antaranya disebabkan jarak lokasi yang terlalu jauh. Mustahil untuk kapal terbang Jepun mempunyai minyak yang mencukupi untuk menyerang dan berpatah bailk. Dan di sinilah terma Kamikazi semakin dikenali. Pada 7 Disember, serangan mengejut berlaku, kapal-kapal perang musnah, ratusan nyawa terkorban. Semua kerana tiada siapa berani menyoal majoriti.
Kejutan di Bay of Pigs (1961). Presiden John F. Kennedy yang baru memegang tampuk kuasa memerlukan sesuatu tindakan yang menunjukkan kekuasaan Amerika Syarikat pada ketika itu sebagai kuasa dunia. Maka operasi untuk menggulingkan Fidel Castro di Cuba dirancang. Ramai pegawai sebenarnya sedar rancangan itu sangat rapuh dan boleh membawa padah. Tiada siapa berani membantah kerana mahu menunjukkan kesetiaan. Operasi tersebut menemui kegagalan bilamana tentera sokongan tertawan, bilamana Castro sebenarnya mendapat sokongan hebat rakyatnya. Akibatnya, maruah Amerika tercalar. Satu lagi contoh Groupthink yang menenggelamkan kebenaran akibat daripada budaya “setuju sahaja”.
Ketiga-tiga kisah ini memberi pengajaran penting. Apabila komunikasi dibisukan dan pemimpin terlalu dominan, seluruh sistem boleh runtuh. Dalam politik, korporat, atau organisasi tempatan, sindrom setuju sahaja boleh berlaku bila orang di sekeliling pemimpin hanya mengangguk tanpa berani menegur.
Pemimpin yang bijak tahu bahawa perbezaan pandangan bukan ancaman, tetapi pelindung kepada kebijaksanaan. Mereka membuka ruang teguran, menghargai suara minoriti, dan menggalakkan perbincangan jujur. Dalam dunia yang kompleks ini, keputusan yang benar tidak lahir daripada persetujuan cepat, tetapi daripada keberanian menyoal dan berfikir semula.
Kadangkala, suara paling penting bukan yang paling lantang, tetapi yang berani berkata:“Tunggu dulu, mari kita fikir semula. Selagi masa masih berbaki.”
Tentang Penulis:
Dr. Jakaria Dasan ialah Profesor Madya di Universiti Malaysia Sabah. Pernah berkhidmat dalam arena politik sebagai Setiausaha Sulit dan Perhubungan Awam kepada seorang Menteri di Sabah sebelum menyertai UMS pada tahun 2006. Berdasarkan pengalaman itu, beliau lebih gemar menjadi pemerhati politik semasa. Kepakaran akademik beliau adalah tertumpu kepada pengurusan sumber manusia, komunikasi strategik korporat, dan pembangunan komuniti.


















Comments