GRS ditempelak kerana masalah air di Tanjung AruGRS ditempelak kerana masalah air di Tanjung Aru
top of page
  • Wartawan Nabalu News

GRS ditempelak kerana masalah air di Tanjung Aru


15 Okt 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong menempelak kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana masalah gangguan bekalan air yang sering berlaku di Tanjung Aru.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Adun) Tanjung Aru berkata, kejadian malang sebegini tidak pernah berlaku di zaman Kerajaan Warisan.


"Sudah beberapa minggu rakyat saya di Tanjung Aru terpaksa berhadapan dengan gangguan bekalan air. Setiap hari pasti berlaku. Kalau keadaan baik, tekanan air akan jadi sangat rendah. Kalau keadaan kurang baik, tiada air langsung.


"Ini tidak pernah berlaku semasa zaman Warisan. Tapi sedang berlaku di zaman GRS.


"GRS perlu bertanggungjawab kerana rakyat merana. Tak boleh minum, tak boleh masak, tak boleh mandi, tak boleh cuci,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Dalam pada itu, Junz juga menyindir slogan "Sabah Maju Jaya" GRS sebagai retorik kosong.


"Inilah Sabah Maju Jaya yang dibawa oleh GRS, bukan sahaja kawasan pedalaman yang menghadapi masalah air tetapi kawasan bandar pun tiada air,” katanya.


Beliau berkata, masalah air di kawasan Tanjung Aru perlu diselesaikan segera sebelum sektor pelancongan kembali seperti biasa.


"Pelancong dari Semenanjung dan luar negara belum lagi masuk Sabah. Maka boleh dikatakan pengguna yang mengguna air rata-ratanya orang tempatan.


"Tapi untuk orang tempatan pun tak cukup air. Bayangkan apabila pelancong kembali nanti, cukup air kah Sabah? Tidak malukah Sabah diketawakan sebab tidak cukup air?,” kata Junz.

bottom of page