GRS Mesti Bersatu Hati
- nabalunews
- Jun 15
- 2 min read

15 Jun 2025
TUARAN: Ingatan dan nasihat saya kepada ahli-ahli Gagasan Rakyat dan GRS supaya
mereka bersatu hati. Rapatkan barisan, kuatkan jentera parti untuk kita menghadapi
pilihan raya yang tidak berapa lama lagi”.
Demikian saranan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam ucapan perasmian Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat
Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman di Dewan Seri Sulaman Tuaran, hari ini.
Hajiji berkata, Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat pada kali ini penting kerana ia diadakan menjelang PRN17 yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Katanya, pemimpin dan ahli Gagasan Rakyat atau GRS perlu mengambil iktibar keadaan politik semasa dan menangkis pembohongan disebarkan pembangkang melalui media sosial.
"Kita mesti pandai menilai apa fitnah dan pembohongan serta apa yang dibuat kerajaan. Jangan sekali-kali terpengaruh dengan fitnah dan pembohongan yang dibawa
pembangkang.
"Biarlah pembangkang melakukan fitnah, tapi kita ahli Gagasan Rakyat mesti berdiri
sama-sama rakan kita dalam GRS Plus, khususnya di Sulaman ini," katanya.
Beliau turut menjelaskan mengenai kedudukan GRS pada PRN17 nanti, khususnya
berkaitan rakan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya itu.
"Banyak tanya saya macam mana keadaan, siapa kawan kita, di mana kita bertanding.
Walaupun belum ada lagi keputusan muktamad kerana saya akan bincang dengan
komponen GRS, tapi kita sekarang lebih selesa seperti dalam kerajaan sekarang iaitu
GRS-PH Plus.
"Inilah sentimen rakyat di bawah sekarang, rakyat kita mahu ini sekarang. Banyak parti
lain cakap takbur, cakap besar di luar, tapi saya bawa ini dalam GRS. Saya tidak buat
keputusan berseorangan, ini prinsip saya. Biarlah ia dibuat oleh AMT GRS ke mana
arah kita pada pilihan raya akan datang," katanya.
Mengenai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman yang disandangnya sejak
1990, beliau yakin kerusi itu dapat terus dipertahankan di bawah GRS pada PRN17.
Beliau juga mahu tiga kerusi lain dalam Parlimen Tuaran, iaitu Pantai Dalit, Tamparuli
dan Kiulu juga kekal dipertahankan di bawah GRS.
Comentários