GRS-PH Plus cuba dijatuhkan guna taktik kotor - Hajiji
17 November 2024
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata penggunaan media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI) mewujudkan ancaman baharu apabila dijadikan saluran untuk menyebarkan dakwaan dan fitnah.
Beliau mengingatkan rakan gabungannya bahawa mereka kini berhadapan taktik kotor pihak pembangkang yang ingin menjatuhkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus, termasuk menggunakan kemajuan dalam bidang sains dan teknologi.
Pengerusi GRS itu berkata, rakan parti dalam gabungan harus lebih berhati-hati dengan cabaran yang sedang menguji daya tahan gabungan tersebut.
Jelasnya, cabaran yang timbul menerusi aplikasi hasil kemajuan sains dan teknologi itu benar-benar menguji ketahanan kerajaan GRS-PH Plus menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN-17) yang semakin hampir.
"Apa yang saya maksudkan ialah taktik kotor pembangkang serta konco-konco mereka yang bersekongkol ingin menjatuhkan kerajaan GRS-PH Plus melalui sebaran fitnah, pelbagai tuduhan dan pembohongan terhadap kerajaan negeri dan kepimpinan parti," katanya.
Hajiji berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Parti Liberal Demokratik (LDP) di Dewan Sekolah Menengah Kian Kok di sini pada Ahad.
"Inilah cabaran semasa yang wajib kita perangi habis-habisan, kerana ia boleh meracuni pemikiran rakyat untuk membenci kerajaan dan kepimpinan parti, lebih-lebih lagi dalam era teknologi serba canggih sekarang, di mana media sosial dan AI telah menguasai kehidupan seharian rakyat.
"Segala pembohongan dan fitnah yang ditabur di luar sana, bukan sahaja perlu disangkal bahkan wajar dipatahkan, agar rakyat tidak terus tertipu atau termakan hasutan, hasil perbuatan mereka-mereka yang ingin menjatuhkan kerajaan secara kotor dan tidak bermoral," katanya.
Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yakin dengan LDP sebagai salah sebuah parti yang mendukung perjuangan GRS mampu memainkan peranan penting dalam membendung dan memerangi segala dakyah serta taktik kotor yang digembar-gemburkan oleh pembangkang.
Comments