top of page

GRS sentiasa letak kepentingan rakyat di hadapan - Azizah

  • nabalunews
  • Aug 16, 2025
  • 1 min read

Datuk Azizah Mohd Dun
Datuk Azizah Mohd Dun

16 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa meletakkan kepentingan rakyat Sabah di hadapan, kata Ketua Wanitanya, Datuk Azizah Mohd Dun.


Beliau berkata, GRS akan terus mengutamakan kepentingan rakyat Sabah dalam setiap keputusan politik, termasuklah hubungan dengan Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan.


Katanya, kerjasama antara GRS dan PH adalah satu langkah strategik demi memastikan kestabilan politik serta keberkesanan pelaksanaan dasar-dasar pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat negeri ini.


"Hubungan dengan Kerajaan Perpaduan adalah untuk memastikan suara rakyat Sabah didengar dan hak-hak negeri terpelihara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Wanita GRS, disini semalam.


Azizah turut menekankan bahawa perjuangan GRS tidak berganjak daripada agenda utama, untuk menambah baik infrastruktur asas, memperkasakan peluang ekonomi, serta meningkatkan taraf hidup rakyat di seluruh pelusuk negeri.


Menurutnya, kerjasama dengan PH tidak seharusnya dilihat sebagai kompromi terhadap prinsip perjuangan GRS, sebaliknya sebagai platform memperkukuh posisi Sabah dalam pentadbiran negara.


Beliau juga menyeru semua jentera wanita parti GRS untuk terus bersatu, berperanan aktif dalam menyampaikan aspirasi rakyat di akar umbi, serta menyokong usaha kerajaan negeri dan persekutuan dalam memajukan Sabah.


“Wanita GRS akan terus menjadi tulang belakang dalam memperkukuh parti dan memastikan suara wanita serta keluarga Sabah mendapat perhatian sewajarnya,” tambahnya.


Azizah yakin bahawa dengan semangat kebersamaan, kesetiaan kepada perjuangan rakyat, serta kerjasama politik yang matang, GRS akan terus menjadi wadah utama dalam memastikan Sabah maju, makmur, dan sejahtera.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page