GRS tolak cadangan Sidang Khas MA63 mengejutkan - Pemuda UPKOGRS tolak cadangan Sidang Khas MA63 mengejutkan - Pemuda UPKO
top of page
  • Wartawan Nabalu News

GRS tolak cadangan Sidang Khas MA63 mengejutkan - Pemuda UPKO



10 Disember 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Tindakan kerajaan GRS menolak cadangan Sidang Khas DUN untuk membincangkan perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) amat mengejutkan, kata Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Felix Joseph Saang.


Beliau berkata, cadangan mengadakan Sidang Khas DUN untuk tujuan itu seharusnya disokong semua wakil rakyat Sabah termasuk pihak kerajaan dan pembangkang.


“Walaupun isu itu sedang dibahaskan di Parlimen, namun Sidang Khas DUN perlu untuk mendengar dan meneliti cadangan dan pandangan serta kemahuan rakyat Sabah daripada wakil rakyat negeri ini.


“Rakyat Sabah melihat Kerajaan Sarawak lebih kehadapan, lebih berani dan lebih terbuka dalam soal menuntut perkara MA63. Amat mengejut dan menyedihkan apabila Kerajaan GRS memutuskan tiada keperluan sidang khas DUN,” katanya di sini, hari ini.


Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Datuk Hajiji Haji Noor bahawa tiada keperluan mengadakan sidang khas DUN untuk membincangkan perkara berkaitan MA63 kerana perkara itu termasuk Rang Undang-Undang (RUU) yang bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan telah dibentangkan di Parlimen dan bakal dibahaskan.


Hajiji menjawab pertanyaan Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Senallang) mengenai cadangan untuk mengadakan sidang khas DUN Sabah, semasa sesi penggulungan.


Felix berkata:“Datuk Dr.Jeffrey Kitingan pernah menyuarakan dalam Parlimen bahawa isu MA63 perlu dibawa dalam persidangan DUN Sabah. Kenapa beliau membisu apabila Ketua Menteri mengumumkan tidak perlu ada sidang khas DUN?”.


“Rakyat Sabah juga beranggapan Datuk Maximus Onglili (Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) telah gagal dalam janji beliau menyelesaikan MA63 dalam tempoh enam bulan, sebab itu kerajaan negeri seharusnya menyokong MA63 dibincang dalam DUN.


“Bagaimana menyelesaikan MA63 jika tiada keterbukaan dan ketegasan Kerajaan Negeri untuk membincangkan perkara ini secara khusus?


“Kita tidak hairan jika pemimpin Umno dan Bersatu Sabah membisu dalam hal ini kerana mereka terpaksa akur dengan pimpinan pusat mereka di Malaya,” katanya.


Felix berkata, isu MA63 adalah perkara penting, kritikal dan antara perjuangan utama serta impian rakyat Sabah selama ini.


“Kita tahu isu MA63 sedang dibahaskan di Parlimen, tetapi kenapa GRS mengelak untuk membincangkan isu ini dalam DUN?


“Perbahasan dari hati ke hati antara semua wakil rakyat Sabah (kerajaan dan pembangkang) melalui Sidang Khas DUN pasti lebih berkesan dan bermakna untuk mendapat kata sepakat dalam menyelesaikan perkara MA63, selain daripada perbahasan di Parlimen yang melibatkan wakil rakyat dari negeri-negeri lain yang mungkin tidak memahami apa sebenarnya kehendak rakyat Sabah,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page