top of page

Guna saluran lain banteras rasuah bukannya demonstrasi

nabalunews

30 Disember 2024


Oleh: Wartawan Nabalu News


 

TAWAU: Pengerusi Sekretariat Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR)- Semenanjung, Muhammad Faisal Mohamad Mohidin (gambar) menggesa para siswa siswi insitusi pengajian tinggi agar menggunakan saluran lain sebagai usaha membanteras rasuah dan bukannya melakukan demonstrasi.


“Gunalah saluran seperti mengadakan forum atau wacana, ataupun sebagai pemain media sosial, buatlah isi kandungan yang memberi manfaat dan teguran yang membina,”katanya.


Menurutnya, perhimpunan atau demonstrasi bukan budaya negeri ini dan tidak seharusnya budaya kebencian dipraktikkan di Sabah.

 

“Sebaiknya perhimpunan yang dirancang esok (31 Disember), jangan dilakukan bagi menghormati keputusan Yang Dipertuan Agong kerana kita sedia maklum perlantikan Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah sudahpun melalui pelbagai proses tapisan,”katanya.

 

Beliau yang juga mantan Pemimpin Belia Sabah berkata, meskipun polis membenarkan Perhimpunan Aman Tempur Rasuah Sabah itu, namun beliau khuatir tindakan tersebut mengundang pergaduhan besar, sekaligus menggugat keamanan sekiranya tidak terkawal.


Apatah lagi, katanya, perhimpunan tersebut tidak mempunyai locus standi dalam mempersoalkan perlantikan Tun Musa Aman kerana Perkara 1(1) Perlembagaan Sabah menyatakan Yang Dipertua Negeri Sabah dilantik mengikut budi bicara Yang di-Pertuan Agong, selepas mendapat nasihat daripada Ketua Menteri.


“Saya ingin menasihatkan siswa siswi agar tidak terpengaruh dengan individu seperti saudara Fahmi Reza (aktivis politik) yang datang ke Sabah membawa karikatur jelek menghina Tun Musa Aman.


“Tun Musa Aman merupakan salah seorang seorang pemimpin veteran negeri ini yang membawa banyak pembaharuan dari segi pembangunan negeri, dan beliau sesuai diangkat menjadi TYT Sabah ke-11, malah sudahpun dipilih secara rasmi oleh Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim,”katanya.

Comments


bottom of page