top of page
  • nabalunews

Guna teknologi canggih, pantau tanah jerlus, mendap – Lam Thye


1 September 2024


KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melaksanakan pemantauan serius termasuk menggunakan teknologi canggih dalam usaha mencegah dan meramal risiko insiden tanah jerlus dan pemendapan tanah pada masa depan.


Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah keselamatan yang menyeluruh perlu membabitkan tinjauan geologi yang dikemas kini dari masa ke semasa, kepada kawasan yang terjejas bagi mengenal pasti mengenai potensi risiko yang bakal berlaku.


Katanya, ia termasuklah penggunaan sistem pemantauan masa realistik dan mampu menjejaki perubahan dalam kestabilan tanah serta paras air perlu ada untuk diakses pada setiap masa.


“Memahami keadaan tanah dan batuan asas akan membantu untuk meramal dan mencegah insiden tanah jerlus pada masa hadapan serta risiko kejadian di tempat bahaya yang lain.


“Teknologi seperti radar penembusan tanah perlu ada kerana Jabatan Mineral dan Geosains telah pun memulakan penggunaan teknologi di Jalan Masjid India dan pengesan ini boleh memberikan tanda amaran awal tentang tindak balas yang wujud di bawah permukaan.


“Malah, semakan berkala dan menaik taraf sistem perparitan sedia ada serta elemen infrastruktur lain yang mungkin menyumbang kepada ketidakstabilan tanah dan memastikan pembinaan mengikut piawaian kejuruteraan moden,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.


Lam Thye juga berkata, kerajaan harus membabitkan masyarakat melalui program pendidikan mengenai tanah jerlus dari segi punca ia berlaku dan bagaimana untuk melaporkan sekiranya ada pergerakan tanah yang mencurigakan.


“Langkah ini dapat memastikan penduduk yang telah dididik dengan pengetahuan ini dapat memberi maklumat sekaligus membantu memupuk budaya kesiapsagaan,” katanya.


Selain itu beliau berkata, pembangunan dan mengemas kini secara kerap pelan tindak balas kecemasan yang merangkumi prosedur pemindahan dan strategi komunikasi perlu dilakukan bagi memastikan penduduk tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku insiden.


“Kita harus mewujudkan perkongsian antara kerajaan tempatan, pakar kejuruteraan dan organisasi komuniti untuk berkongsi pengetahuan dan sumber. Usaha bersama ini boleh membawa kepada penyelesaian yang lebih berkesan.


“Saluran tetap untuk memberikan maklum balas daripada masyarakat yang berterusan mengenai kebimbangan tentang keselamatan boleh meningkatkan kecekapan tindak balas daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Comments


bottom of page