Gurauan "mungkin ada bom" bawa padah
- nabalunews
- Oct 21, 2024
- 1 min read

21 Oktober 2024
Oleh : Wartawan Nabalu News
TAWAU: Seorang lelaki yang bergurau dengan mengatakan 'mungkin ada bom'
di balai berlepas Lapangan Terbang Tawau, Julai lalu, dikenakan perintah khidmat masyarakat empat jam setiap hari selama tempoh tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam.
Tertuduh, Sabrie Nulsari, 39, dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret Don Stiwin Malanjun selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan itu dengan mengeluarkan kata-kata tersebut di balai berlepas Lapangan Terbang Tawau (LTT) sekitar jam 3.15 petang pada 15 Julai 2024 lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali
Menurut fakta kes, kejadian berlaku semasa seorang polis bantuan Lapangan Terbang Tawau membuat pemeriksaan badan dan bagasi para penumpang sebelum dibenarkan masuk ke dalam kawasan balai berlepas.
Kemudian, semasa membuat pemeriksaan paspot dan pas masuk serta beg seorang wanita warganegara China, polis tersebut mendengar suara tertuduh dari belakang wanita berkenaan.
Polis tersebut bertanya semula kepada tertuduh apa yang dikatakan lelaki itu kerana tidak dengar dengan jelas, dan dijawab 'mungkin ada bom' oleh tertuduh yang seakan-akan menyatakan bahawa ada bom di dalam beg wanita China tersebut.
Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin menjalankan pendakwaan, manakala, tertuduh diwakili peguam Jhassary P. Kang daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Comentarios