top of page
Writer's pictureMarryan Razan

Guru berjalan kaki 18 jam harungi hujan, lumpur demi pelajar


Guru-guru terpaksa mengharungi perjalanan yang mencabar pada waktu malam dan hujan.

8 April 2022

Oleh Marryan Razan


NABAWAN: ‘Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’, perjalanan mencabar selama 18 jam sekumpulan guru sebuah sekolah rendah kawasan pedalaman Nabawan membuktikan Sabah amat dahagakan pembangunan infrastruktur khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.


Pengorbanan sekumpulan guru yang terpaksa berjalan kaki mengharungi hutan, hujan dan lumpur selama 18 jam untuk sampai ke SK Pangaraan Nabawan, dikongsikan melalui Facebook oleh salah seorang anak kepada guru sekolah berkenaan.


Sepanjang perjalanan mereka kadang kala berehat sekejap menanti sungai untuk surut supaya boleh dilalui. Mereka juga berehat di kebun-kebun penduduk kampung untuk berbuka puasa.


Guru-guru berehat sebelum meneruskan perjalanan pada waktu malam.

Tiada pilihan tetapi terpaksa meneruskan perjalanan pada waktu malam dan hujan. Bukan guru sahaja yang terpaksa menempuhi perjalanan seperti itu tetapi penduduk kampung juga turut terkesan.


“Walaupun saya merasa sedih dan marah namun saya akur dan faham perjuangan serta tugasan para pendidik tanah air,” kata Zazila Roslan berkongsi kisah itu melalui akaun Facebooknya.


Anak kepada salah seorang guru itu turut berkongsi video pendek dan gambar-gambar.


“Saya masih ingat sewaktu kecil dulu, kami bermalam di rumah orang kampung untuk berehat atau menumpang tidur daripada perjalanan yang panjang untuk sampai ke sekolah tempat ibu saya mengajar kerana keadaan jalan raya yang tidak dapat dilalui oleh kenderaan ketika itu.



“Saya tidak sangka, 27 tahun kemudian pada era Netflix, ibu saya dan guru-guru yang lain perlu menghadapi situasi ini.


“Ibu saya berusia 50-an dan guru besar yang hampir pencen berjalan kaki untuk sampai ke sekolah selama 18 jam,” katanya.


Zazila berkata, ekoran hujan lebat pada 5 Mac lalu semasa cuti sekolah, tiga jambatan utama rosak dan beberapa tanah runtuh berlaku di sepanjang laluan ke SK Pangaraan.


“Kawasan yang terjejas ialah Kampung Pohon Batu dan Kampung Pangaraan Nabawan,” katanya.



Katanya, sejak itu ibunya bimbang dan setiap minggu semasa cuti sekolah dia akan memantau jalan raya berkenaan sama ada boleh dilalui atau sebaliknya.


“Walaupun ibu saya mendapat arahan dibolehkan bekerja di Pejabat Pendidikan sehingga jalan raya pulih, atau boleh dilalui namun ibu saya tidak senang hati memikirkan keadaan para pelajar yang akan ketinggalan pelajaran. Selama ini dia memang berbakti mengajar di pedalaman selama 27 tahun,” katanya.


Zazila berharap rakan-rakan Facebook yang mempunyai kenalan pihak berwajib dapat membantu meringankan bebanan guru-guru dan penduduk Kg.Pangaraan.



Antara cadangannya ialah menghantar guru-guru menggunakan helikopter.


“Saya ternampak pihak berkaitan menggunakan perkhidmatan helikopter untuk ke tempat yang sukar dilalui. Apa salahnya pada bulan puasa ini, sesiapa yang mempunyai perkhidmatan helikopter, menghantar guru-guru atau mengambil sekali sahaja sebelum cuti raya.



“Mana-mana badan bukan kerajaan (NGO), wakil rakyat atau agensi yang ingin membantu penduduk kampung dan murid- murid dari segi bantuan makanan dan peralatan sekolah, kebanyakan penduduk kampung ingin ke Keningau untuk ambil bantuan BKM, akan tetapi perjalanan yang mereka lalui dan tambang menyebabkan perjalanan mereka tidak berbaloi.


“Pesanan penduduk kampung: “minta percepatkan pembinaan jambatan, kalau kecil saja itu sungai kami boleh buat jambatan, tapi ini sungai besar,” katanya.

Comments


bottom of page