Guru interim BI akan diserap ke jawatan tetap jika penuhi syarat: KPM
top of page
  • Nur Syafiqah Abdullah

Guru interim BI akan diserap ke jawatan tetap jika penuhi syarat: KPM


Gambar Hiasan

9 Mac 2022

Oleh Nur Syafiqah Abdullah


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melantik guru interim Bahasa Inggeris (BI) yang tamat tempoh kontrak pada bulan depan ke jawatan tetap sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan.


Menurut kenyataan KPM, guru interim BI yang dilantik pada 22 April 2019 dan akan tamat tempoh lantikan pada 21 April 2022 serta memenuhi syarat CEFR C1 dan lulus temuduga akan dilantik tetap sebagai PPP Gred DG41 oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).


“Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menetapkan bahawa setiap murid yang melalui sistem pendidikan di Malaysia perlu mahir dan fasih berbahasa Melayu serta mahir berbahasa Inggeris pada tahap “independent proficiency” seperti yang ditakrifkan oleh Common European Framework of Reference for Languages (CEFR).


“Oleh itu, mulai tahun 2022, urusan pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) baharu bagi opsyen BI perlu mengambil kira penguasaan BI calon pada tahap proficient, iaitu tahap CEFR C1,” kata kenyataan itu, hari ini.


Menurut kenyataan itu lagi, dalam masa yang sama, bagi guru interim BI yang akan tamat tempoh lantikan interim pada 21 April 2022 tetapi tidak memenuhi syarat CEFR C1, mereka akan turut ditemu duga untuk tujuan lantikan tetap sebagai PPP Gred DG41 oleh SPP dalam masa terdekat.


“Bagaimanapun, mereka perlu mencapai tahap CEFR C1 dalam tempoh percubaan, iaitu satu hingga tiga tahun bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan,” katanya.


KPM sentiasa berusaha untuk meningkatkan kompetensi guru BI bagi memberi impak kepada pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Ini secara langsung akan meningkatkan tahap penguasaan murid dalam BI seperti yang diaspirasikan berdasarkan piawaian antarabangsa CEFR.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page