- Wartawan Nabalu News
Hajiji gesa perkhidmatan awam beri sokongan untuk kemajuan negeri
1 Mac 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor menggesa anggota perkhidmatan awam negeri dan persekutuan terus memberikan sokongan dan dokongan kepada Kerajaan Negeri pimpinannya dalam usaha gigih memajukan negeri dan mensejahterakan rakyat.
“Sekarang adalah masanya untuk kita bekerja keras, membangunkan semula ekonomi negeri dan memajukan rakyat.
“This is the time to work. Time to walk the talk and to deliver what we have planned for the rakyat. Percayalah, setiap daripada kita menginginkan kerajaan yang stabil; negeri dan negara yang makmur, supaya kita dapat hidup dengan aman dan sentosa.
“Sebagai anggota perkhidmatan awam, kita seharusnya memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap segala usaha bagi membina semula ekonomi negeri dan membela nasib rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan di Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.
Majlis itu yang turut dihadiri oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, merupakan perhimpunan penjawat awam terbesar, malah julung kalinya seorang Perdana Menteri hadir untuk menyampaikan amanat kepada anggota perkhidmatan awam negeri ini.
Hajiji berkata, meskipun baharu dua tahun lebih beliau menerajui kepimpinan negeri, namun cabaran dan ujian yang dilaluinya begitu luar biasa sekali.
“Sungguh luar biasa ujian dan tribulasi yang datang silih berganti. Namun, saya sangat bernasib baik, kerana mempunyai rakan-rakan dalam kepimpinan negeri, termasuk jentera kerajaan, iaitu anggota perkhidmatan awam, yang tetap memberikan sokongan dan dokongan dalam usaha gigih kita untuk memajukan negeri dan mensejahterakan rakyat,” tegasnya.
Dalam mengorak langkah ke hadapan, Hajiji mengajak anggota perkhidmatan awam untuk melipat-gandakan lagi usaha serta khidmat bakti kepada negeri, rakyat dan masyarakat; dengan pertanggungjawaban, jati diri dan iltizam yang tinggi dalam memikul amanah dan tanggungjawab dalam memastikan negeri ditadbir dan diurus dengan cemerlang, manakala rakyat dibela dengan sebaik-baiknya.
Comments