top of page

Hajiji gesa siasatan menyeluruh terhadap tuduhan rasuah ahli politik Sabah

nabalunews

12 November 2024


KIMANIS: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, menggesa siasatan menyeluruh dilakukan terhadap dakwaan rasuah yang melibatkan beberapa ahli politik di negeri ini.


Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil tindakan tegas untuk menyiasat individu, termasuk ahli perniagaan, yang membuat dakwaan rasuah tersebut.


"Itu pemberi rasuah mempunyai niat yang tidak baik untuk mendapatkan sesuatu daripada kerajaan, apabila tidak dapat inilah yang keluar.


"Jadi bagi saya untuk lebih adil, tangkap dia dulu, siasat dia," katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Loji Janakuasa 100MW Kimanis Power (Dua) Sdn Bhd dan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-15 Kimanis Power Sdn Bhd di Stesen Janakuasa Kimanis di sini hari ini, lapor Utusan Borneo.


Hajiji berkata, tiada apa untuk disembunyikan kerana kerajaan dalam keadaan baik dan berfungsi dengan baik.


Menurutnya, dakwaan rakaman viral itu hanyalah satu tuduhan dan perkara itu perlu dilaporkan kepada SPRM.


"Itu cuma tuduhan, laporlah kepada SPRM. Kita tiada apa-apa yang mahu disembunyikan," katanya.


Terdahulu, sebuah video selama 17 saat yang dimuat naik oleh sebuah portal dalam talian didakwa memaparkan rakaman audio perbualan antara seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang kontraktor yang membincangkan aktiviti rasuah.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page