Lori Tentera Terbabas, Peniaga Cedera
- nabalunews
- 52 minutes ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
4 Mac 2026
KENINGAU: Seorang peniaga sayur dilaporkan cedera selepas sebuah lori tentera terbabas dalam kejadian di Jalan Salarom Taka, Nabawan, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, kemalangan dilaporkan berpunca daripada sebuah kenderaan pacuan empat roda yang keluar secara mengejut dari bahu jalan.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah Toyota Hilux yang berada di bahu jalan sebelah kiri tiba-tiba keluar untuk menuju ke bahu jalan sebelah kanan.
"Pada masa sama, sebuah lori tentera jenis Hicom Handalan II yang sedang bergerak dari arah Tawau menuju ke Keningau dipercayai tidak sempat mengelak.
"Akibat pelanggaran itu, lori tentera terbabas ke bahu jalan kanan sebelum melanggar gerai peniaga sayur yang berada di tepi jalan,”’katanya.
Menurutnya, mangsa yang cedera di kepala dibawa ke Klinik Kesihatan Salarom Taka sebelum dirujuk ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.
“Kedua-dua pemandu kenderaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat kecuaian pemandu kenderaan pacuan empat roda yang keluar secara mengejut dari bahu jalan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Kaedah 3(2)(B) LN166/59,” katanya.











