Sindiket Curi Kabel TM Tumpas di Tambunan
- nabalunews
- 8 hours ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
4 Mac 2026
KENINGAU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau berjaya menumpaskan satu sindiket yang aktif melakukan khianat terhadap infrastruktur telekomunikasi awam dengan penahanan empat lelaki, awal pagi tadi.
Dalam operasi khas sekitar jam 2.30 pagi di Kampung Mogong Tangaban, Tambunan, itu, empat lelaki berusia lingkungan 29 hingga 49 tahun ditahan selepas disyaki meleraikan kabel milik Telekom Malaysia (TM) untuk dijual sebagai besi buruk.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai memaklumkan, penahanan ini adalah hasil maklumat awam dan kerjasama pihak TM susulan beberapa laporan gangguan perkhidmatan komunikasi di sekitar daerah Tambunan dan Keningau.
"Siasatan awal mendapati kumpulan ini dipercayai aktif di sekitar Tambunan dan Keningau.
“Tindakan mereka bukan sahaja mengakibatkan kerugian harta benda, malah menyebabkan gangguan serius terhadap perkhidmatan komunikasi yang memberi kesan langsung kepada kepentingan masyarakat," ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine (syabu) hasil ujian saringan awal air kencing.
Sementara itu, Yampil berkata, dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas 16 barang kes termasuk kabel yang telah dipotong, beberapa peralatan pemotong besi, serta sebuah kenderaan jenis Proton Persona yang dipercayai digunakan dalam aktiviti tersebut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap kemudahan telekomunikasi.
“Permohonan reman akan dibuat untuk melengkapkan siasatan lanjut, termasuk mengenal pasti kemungkinan penglibatan suspek dalam kejadian lain yang berkaitan.
“IPD Keningau komited untuk terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara konsisten dan memandang serius sebarang perbuatan yang menjejaskan infrastruktur awam.
“Orang ramai juga digesa agar terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah melalui saluran rasmi pihak polis bagi membantu usaha pencegahan jenayah di daerah ini,” tegasnya.















Comments