Azalina: "Kajian Menyeluruh Perlu Sebelum Tambah Kerusi Sabah-Sarawak"
- nabalunews
- Mar 4
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
4 Mac 2026
KUALA LUMPUR: Cadangan menambah kerusi Dewan Rakyat bagi Sabah dan Sarawak memerlukan penelitian menyeluruh memandangkan ia membawa implikasi besar kepada negeri-negeri lain di Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam, Azalina menjelaskan bahawa mesyuarat Majlis Tindakan Perjanjian Malaysia (MTPMA63) pada 12 September 2025 telah bersetuju secara prinsip bahawa penambahan kerusi adalah wajar bagi memenuhi tuntutan 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.
"Namun, jumlah dan peratusan pertambahan perlu dibincangkan lebih lanjut kerana ia memberi kesan kepada negeri-negeri lain," jelas beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda.
Menurut Azalina, Perdana Menteri telah mengumumkan persetujuan menambah Bahagian Pilihan Raya Persekutuan pada 16 November 2025. Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya boleh memulakan kajian semula persempadanan selepas pindaan dibuat ke atas Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menegaskan bahawa proses pindaan Perlembagaan adalah prasyarat wajib sebelum SPR dapat menjalankan kajian persempadanan baharu, selaras dengan peruntukan Perkara 113(3A) Perlembagaan Persekutuan.
"Buat masa ini, sebarang pertambahan kerusi masih memerlukan pindaan Perlembagaan sebelum proses persempadanan baharu dapat dilaksanakan," tegas Azalina.
Cadangan penambahan kerusi ini merupakan sebahagian daripada tuntutan Sabah dan Sarawak dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang bertujuan mengembalikan kedudukan setara kedua-dua wilayah tersebut dalam komposisi Dewan Rakyat.
Proses pindaan Perlembagaan memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen, yang akan menentukan hala tuju sebenar penambahan kerusi bagi dua wilayah Borneo tersebut.















Comments