Pantau penjualan minyak bersubsidi elak penyelewengan bahan api
- nabalunews
- 46 minutes ago
- 2 min read

24 April 2026
KUDAT: Penjualan minyak bersubsidi di kawasan sempadan perlu dipantau secara berterusan bagi mengelakkan penyelewengan bahan api oleh pihak tidak layak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan komited memastikan kestabilan ekonomi dan kebajikan rakyat melalui pemberian subsidi bagi mengawal harga petrol dan diesel agar tidak membebankan rakyat.
Bagaimanapun katanya aktiviti penyeludupan dan ketirisan masih berlaku, sekali gus menjejaskan usaha tersebut.
“Sehubungan itu, Jemaah Menteri telah mengarahkan penguatkuasaan dipertingkatkan termasuk melibatkan pihak polis dalam pemantauan stesen minyak di kawasan sempadan.
“Operasi bersepadu ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan penggunaan teknologi pengawasan moden seperti radar bagi mempertingkat keberkesanan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengetuai tinjauan Operasi Membanteras Penyeludupan dan Ketirisan Sempadan Negara di perairan utara Sabah di Remote Sensor Site (RSS) Balambangan, di sini, Khamis.
Saifuddin berkata antara kejayaan operasi bersepadu itu termasuk penahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan Bagang, Kota Marudu, menggagalkan cubaan menyeludup 800 liter diesel di Pulau Banggi serta pemantauan penjualan minyak bagi mengekang ketirisan subsidi.
"Hasil pemantauan mendapati penurunan jualan RON95 sebanyak kira-kira 20 peratus, manakala jualan RON97 meningkat menunjukkan berlakunya penyelewengan penggunaan bahan api bersubsidi oleh pihak tidak layak.
"Selain itu, program penjualan minyak bersubsidi di kawasan pedalaman turut dipantau bagi memastikan bekalan hanya dinikmati oleh golongan sasaran dan tidak diseleweng," katanya.
Mengulas berhubung tinjauan itu, beliau berkata ia bagi melihat sendiri ‘laluan tikus’ di sempadan Malaysia-Filipina yang dikenal pasti sebagai lokasi panas aktiviti penyeludupan, jenayah rentas sempadan serta kegiatan lain yang menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara.
“Pendekatan turun padang ini penting bagi memastikan strategi yang dirangka di peringkat kementerian dan agensi penguatkuasa benar-benar dilaksanakan dengan berkesan di lapangan," jelasnya.
Mengenai RSS Balambangan, Saifuddin berkata kemudahan itu merupakan komponen penting dalam sistem pengawasan APMM di Sabah dan berfungsi sebagai radar pemantauan yang menjadi ‘mata dan telinga’ pasukan penguat kuasa di perairan negara.
"Keupayaan radar ini membolehkan pengesanan sehingga 70 peratus sasaran mencurigakan dengan kira-kira 6,000 kontak setahun. Sejak 2015, RSS Balambangan telah merekodkan lebih 152,000 pengesanan dan menyumbang kepada 260 tangkapan.
.
"Operasi ini menekankan kerjasama bersepadu antara pelbagai agensi serta penggunaan teknologi pengawasan moden dan antara kejayaan terkini termasuk penahanan 21 warga Filipina, penahanan tujuh vesel nelayan asing dan pengesanan penyeludupan haiwan dan barangan kawalan," ujarnya.
Beliau berkata kerajaan turut memberi penekanan terhadap peningkatan aset dan infrastruktur bagi memperkukuh operasi bagi memastikan kesiapsiagaan dan keberkesanan penguatkuasaan sentiasa berada pada tahap optimum dalam menghadapi ancaman semasa.
Antara inisiatif tersebut termasuk pembinaan semula pejabat Zon Maritim Kudat bernilai RM73.5 juta, perolehan pontun bagi penambatan bot sebanyak RM1 juta serta cadangan pembinaan RSS baharu di Pulau Malawali bernilai RM88 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Selain itu, katanya sebanyak 10 bot pantas turut diluluskan bagi meningkatkan keupayaan operasi di kawasan berkenaan.











