HAJIJI PERLU BERANI PERTAHAN KEPUTUSAN: AZIS JAMMANHAJIJI PERLU BERANI PERTAHAN KEPUTUSAN: AZIS JAMMAN
top of page
  • Wartawan Nabalu News

HAJIJI PERLU BERANI PERTAHAN KEPUTUSAN: AZIS JAMMAN



Oleh Wartawan Nabalu News

30 Jun 2021


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Haji Noor perlu berani mempertahankan keputusannya kerana beliau lebih tahu keadaan di negeri ini berbanding menteri-menteri di Putrajaya, kata Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman.


Mohd Azis berkata, keadaan di Sabah tidak sama dengan keadaan di negeri Selangor, maka adalah wajar kerajaan mengambil kira setiap situasi atau keadaan di setiap kawasan sebelum mengumumkan sesuatu polisi.


Kelmarin, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri mengeluarkan kenyataan, menegur Ketua Menteri Sabah agar tidak mengumumkan SOP mereka sendiri.


“Ini merupakan satu bukti bahawa Kerajaan Perikatan Nasional baik di peringkat persekutuan malah di peringkat negeri tidak mempunyai koordinasi yang baik hingga menghuru-harakan negara. Kita juga dihujani rungutan rakyat dan pengusaha restoran yang marah.


“Selepas mendengar pengumuman Ketua Menteri, mereka telah membuka kedai seawal pagi namun kecewa bila mereka diarahkan tutup. Malah ada pelanggan yang terpaksa berhenti makan dan lari kerana takut dikenakan kompaun,” katanya dalam kenyataan di sini, kelmarin.


Beliau berkata demikian bagi mengulas kecelaruan pengumuman Ketua Menteri Sabah mengenai kebenaran beberapa sektor dibuka di Sabah bagi membolehkan pemulihan ekonomi rakyat dan negeri Sabah pada keseluruhan dibuka secara berperingkat.


Mohd Azis berkata, dalam hal ini pandangan wakil-wakil rakyat perlu didengar melalui persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.


Katanya, kerajaan sewajarnya memberi fokus kepada negeri-negeri yang mempunyai kes tinggi dan memastikan program immunisasi diperbaiki dan dipercepatkan.


“Saya dimaklumkan Pusat Vaksinasi di Sabah terhenti kerana kehabisan vaksin Covid-19 dan ini amat mendukacitakan.


“Sudahlah mendapat bekalan paling sikit malah lebih mendukacitakan jika di Semenanjung mereka boleh mengwujudkan unit vaksinasi bergerak untuk masyarakat luar bandar dan orang asli menggunakan bas persiaran dan lain-lain.


“Di Sabah gerakan seumpama ini tidak diwujudkan sedangkan di Sabah, bukan sahaja kita menghadapi masalah rangkaian telefon menyukarkan pendaftaran MySejahtera malah dengan jalan yang tidak sempurna menyukarkan masyarakat pendalaman keluar membuat pendaftaran vaksinasi. Jangan anak tirikan rakyat Sabah,” katanya.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page