top of page
  • Wartawan Nabalu News

Hajiji sambut baik langkah pemindahan kawal selia bekalan gas kepada Sabah


22 Disember 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Keputusan Putrajaya memindahkan kuasa mengawal selia bekalan gas di Sabah kepada Kerajaan Negeri sebagai satu langkah ke hadapan ke arah merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.


Hajiji turut memuji dan mengalu-alukan keputusan tersebut, kerana ia sentiasa menjadi aspirasi Sabah dan rakyat.


“Kerajaan Negeri telah bertegas dalam usaha kita untuk mengawal dan mengurus sumber minyak dan gas negeri,” katanya.


Ketua Menteri berkata, beliau telah membangkitkan keperluan untuk memenuhi MA63 semasa pertemuan pertamanya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.


Perdana Menteri mengumumkan keputusan itu kelmarin dan berkata, tarikh pelaksanaan pemindahan itu akan dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.


Atas perkenan Yang di-Pertuan Agung, Dewan Undangan Negeri Sabah akan mengadakan sidang khas untuk meluluskan dan mewartakan Rang Undang-undang Negeri Sabah bagi pembekalan gas dan Suruhanjaya Tenaga Sabah akan mengambil alih semua kuasa kawal selia untuk bekalan gas darat (regasifikasi, penghantaran, pengedaran, penggunaan gas oleh pemegang lesen swasta dan runcit) di Sabah berkuat kuasa serta merta.

bottom of page