- Wartawan Nabalu News
Hajiji sambut baik pendedahan laporan akhir nahas pesawat ‘Double Six’

5 April 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan untuk mendedahkan laporan akhir siasatan nahas pesawat ‘Double Six’ yang meragut nyawa 11 orang termasuk Ketua Menteri ketika itu, Tun Fuad Stephens dan beberapa menteri negeri pada 1976.
Beliau berkata keputusan itu akan menjawab segala persoalan dan spekulasi mengenai tragedi yang menjadi antara saat paling gelap dalam sejarah Sabah itu.
“Ini satu kelegaan bukan sahaja kepada keluarga mangsa tetapi juga kepada rakyat Sabah yang berhak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku pada hari nahas itu,” katanya.
Beliau memberi reaksi terhadap pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Kabinet Persekutuan telah bersetuju untuk menyahklasifikasikan dokumen yang dirahsiakan selama 47 tahun itu.
Beliau berkata Kerajaan Negeri akan menunggu dengan penuh harapan pengumuman rasmi daripada Kementerian Pengangkutan mengenai laporan akhir tersebut minggu depan.
“Kerajaan Negeri akan menerima pendedahan laporan itu dengan hati terbuka,” katanya.
Nahas pesawat ‘Double Six’ berlaku pada 6 Jun 1976 apabila sebuah pesawat GAF N-22B milik Sabah Air yang membawa Fuad Stephens dan beberapa menteri negeri dari Labuan terhempas di Sembulan ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.