• Wartawan Nabalu News

Hampir 67 peratus jangkitan Covid-19 hari ini lengkap vaksinasi


13 Nov 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Hampir 67 peratus pesakit daripada 497 kes Covid-19 hari ini adalah daripada mereka yang telah melengkapkan pengambilan vaksin.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun berkata angka tersebut agak membimbangkan kerana ia mencerminkan bahawa sebahagian besar mereka yang sudah lengkap divaksin tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.


“Angka yang tinggi ini agak membimbangkan kerana ia mencerminkan sikap alpa dan tidak peduli sebahagian besar mereka yang sudah lengkap divaksin.


“Mereka mungkin berandaian mereka sudah kebal daripada jangkitan virus setelah melengkapkan pengambilan vaksin. Namun, hakikatnya mereka tidak kebal daripada jangkitan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Jelas beliau, vaksin sekadar melindungi pesakit daripada kesan serius jangkitan Covid-19 dan ini terbukti dengan 98 peratus kes hari ini hanyalah pesakit-pesakit dalam Kategori 1 & Kategori 2 yang tidak memerlukan rawatan di hospital.


“Tetapi harus diingat bahawa tidak kira dalam apapun kategori, seorang pesakit tetap pembawa virus dan boleh menjangkiti ahli-ahli keluarga lain di rumah,” katanya.


Justeru, orang ramai diseru untuk terus mematuhi SOP yang telah digariskan untuk mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 daripada terus bertambah.